Kuala Lumpur: Sebagai persiapan sebelum bermulanya kejohanan Asia Champions Trophy (ACT) pertengahan tahun ini, Akademi Bola Sepak Frenz United mula mengorak langkah melakukan persiapan awal termasuk menyertai kejohanan antarabangsa.

Justeru, Frenz United akan ‘bertapa’ di Jepun bagi menyertai kejohanan Cabaran Liga J B-16 di Kashima bermula 22 hingga 25 Mac ini.

Penyertaan itu atas jemputan Liga J selepas beberapa usahsama dijalankan kedua-dua pihak termasuk membawa masuk dua pasukan Jepun, Kashima Antlers dan Gamba Osaka pada kejohanan Frenz International Cup (FIC) Januari lalu.

Cabaran Liga J B-16 adalah antara kejohanan bawah umur terpenting Jepun membabitkan penyertaan pasukan akademi kelab liga negara itu. Pada edisi kali ini, buat pertama kalinya tiga pasukan luar dari Jepun dijemput termasuk Frenz United yang akan diwakili skuad Bawah 17 kendalian ketua jurulatih S Balachandran.

Kejohanan ini akan dipecahkan kepada beberapa pertandingan kecil dengan pemain lahir selepas 1 Januari 1998 layak didaftarkan.

Balachandran berkata, kejohanan itu peluang terbaik buat pasukannya menimba pengalaman.

“Pembangunan bola sepak di sana juga sangat teratur. Buktinya, pemain muda mereka mempunyai kemahiran teknikal cukup baik,” katanya.

“Menentang akademi terbaik dari Jepun ini pastinya tugas sukar namun bagi saya, ini pendedahan berguna buat pemain muda Frenz United.”

Pada kejohanan itu nanti, Frenz United diundi dalam Kumpulan B bersama Avispa Fukuoka,Tokyo Verdy, Blaublitz Akita dan Kashima Antlers.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:18 AM