Kangar: Institusi pengajian tinggi (IPT) dari 15 negara mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Woodball Universiti Dunia (WUWC) 2014 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dari 21 hingga 26 Oktober ini.

Kejohanan keempat itu dianjurkan Persekutuan Sukan Universiti Antarabangsa melalui Majlis Sukan Universiti Malaysia, Majlis Sukan Negara dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Menurut kenyataan UniMAP, lebih 250 peserta termasuk pegawai bakal hadir.

Negara yang mengesahkan penyertaan adalah Bangladesh, Malaysia, China, Mongolia, Taiwan, Nepal, Hong Kong, Korea, India, Singapura, Indonesia, Thailand, Jepun, Uganda dan Laos.

Bagi IPT tempatan, ia bakal disertai pasukan gabungan pelajar IPT Awam dari UniMAP, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Teknologi Mara, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Sains Malaysia.

Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin berkata, pihaknya bersiap sedia menjadi hos kejohanan yang julung kali dianjurkan di Malaysia.

Kejohanan berlangsung dalam dua kategori iaitu Strok dan Fairway secara perseorangan, beregu dan berkumpulan, lelaki dan wanita serta campuran. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:08 AM