Firdaus Hashim di Manila


SKUAD floorball wanita negara membuka kempen Sukan Sea 2019 dengan langkah kiri apabila kalah besar 2-8 di tangan Thailand di Manila, hari ini.

Pasukan negara yang tampil buat kali kedua selepas Sukan Sea 2015 nyata gagal menggugat Thailand yang hadir selaku pemenang pingat perak di Singapura lalu.

Kem negara ketinggalan 0-4 pada suku pertama dan lawan menambah tiga lagi gol pada suku kedua sebelum bangkit dengan 2-1 pada set terakhir.

Pengendali negara, Rizal Razman mengakui anak buahnya lambat panas terutama pada awal permainan yang mengejutkan kem negara.

PEMAIN Malaysia, Diana Athira (kiri) cuba menembusi benteng pertahanan Thailand dalam acara floorball Sukan Sea, hari ini. — FOTO Osman Adnan
PEMAIN Malaysia, Diana Athira (kiri) cuba menembusi benteng pertahanan Thailand dalam acara floorball Sukan Sea, hari ini. — FOTO Osman Adnan

Jelas Rizal, cubaan pemainnya untuk bangkit pada suku ketiga sudah terlambat dengan Thailand lebih banyak menyerap asakan pasukan negara.

“Kami lambat panas pada awal permainan apabila dibolosi tiga gol dalam tiga minit pertama. Kami cuba bangkit pada suku kedua dengan permainan mula seimbang.

“Pada suku ketiga kami berjaya meraih jaringan tapi ia tak cukup dan kami perlu menang untuk menghidupkan peluang pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Selepas ini, skuad floorball wanita akan bertemu juara bertahan Singapura esok sebelum turun menentang dua lagi pasukan Myanmar dan Filipina.

Format pertandingan dijalangan secara ‘round robin’ dengan dua pasukan teratas layak ke final merebut pingat emas dan perak sementara pasukan ketiga dan keempat berentap untuk pingat gangsa.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 12:56 PM