Irshad (kanan) dihalang pemain Thailand, Aussawin Wajangam. FOTO BERNAMA
Irshad (kanan) dihalang pemain Thailand, Aussawin Wajangam. FOTO BERNAMA
BERNAMA

SKUAD polo air lelaki negara berpeluang menamatkan kemarau 12 tahun tanpa pingat di Sukan SEA selepas meraih kemenangan kedua menentang Thailand, hari ini.

Dalam perlawanan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, pasukan negara menundukkan Thailand 11-7 untuk sekurang-kurangnya mencerahkan peluang meraih pingat gangsa.

Skuad polo air lelaki negara yang terlebih dulu membuka jaringan menerusi Tan Yi Xun bagaimanapun terikat 4-4 pada suku pertama perlawanan.

Bangkit dengan sorakan gemuruh di Pusat Akuatik Nasional, aksi barisan pemain negara semakin garang apabila mendahului Thailand di suku kedua dan suku ketiga masing-masing dengan jaringan 3-1.

Thailand yang cuba mengasak pintu gol negara, bagaimanapun gagal menyempurnakan percubaan apabila terkena palang gol Malaysia.

Sementara itu, jurulatih negara Voon Yong Hui berkata, pada awal perlawanan anak buahnya kelihatan gugup dan tertekan hingga membolehkan mereka terikat 4-4 pada suku pertama.

“Saya beritahu pemain supaya lebih tenang sebab kami masih ada tiga lagi babak permainan.

“Saya gembira pemain berjaya mengawal tekanan dengan baik,” katanya yang amat berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya setakat ini.

Skuad negara akan berdepan juara bertahan 26 tahun berturut-turut Singapura, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 3:04 PM