Pemain Dortmund, Thorgan Hazard (kanan) meraikan jaringan berdepan Ingolstadt dalam saingan Piala Jerman. FOTO EPA
Pemain Dortmund, Thorgan Hazard (kanan) meraikan jaringan berdepan Ingolstadt dalam saingan Piala Jerman. FOTO EPA
AFP

Berlin: Thorgan Hazard meledak dua gol ketika penyandang kejuaraan Borussia Dortmund meneruskan kemaraan pada saingan Piala Jerman dengan kemenangan 2-0 di laman sendiri ke atas Ingolstadt dalam aksi tanpa bintang penyerang Erling Braut Haaland yang disisihkan kerana kecederaan.

Pemain sayap Jerman, Julian Brandt mencipta kedua-dua gerakan buat Hazard yang dibawa masuk sebagai pemain gantian untuk menjaringkan dua gol dalam babak kedua di Signal Iduna Park.

Haaland terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan pinggul dan Youssoufa Moukoko turut diketepikan, dengan penyerang pilihan ketiga, Steffen Tigges pula melakukan penampilan kelima dalam aksi musim ini.

Dortmund mengatasi lawan dari divisyen dua dengan pemain tengah England, Jude Bellingham memperoleh peluang terbaik menghasilkan jaringan pada babak pertama.

Tuan rumah berjaya melepasi halangan pusingan kedua apabila Hazard meledak gol beberapa minit selepas dimasukkan dengan rembatan jarak dekat.

Gol kedua hadir sembilan minit sebelum tamat perlawanan apabila Hazard menyambut hantaran Brandt untuk memastikan ke pusingan seterusnya dengan aksi dijadualkan berlangsung Januari depan.

Dalam saingan membabitkan wakil Bundesliga, RB Leipzig dan Hertha Berlin berjaya mengelak daripada mengalami keputusan mengejut ke atas pasukan divisyen empat, Babelsberg dan Preussen Muenster.

Hoffenheim membelasah kelab divisyen dua, Holstein Kiel, 5-1 manakala Bayern Munich akan berkunjung ke Borussia Moenchengladbach awal pagi esok bagi saingan pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 9:47 AM