KONTINJEN Kuala Lumpur muncul juara keseluruhan PPBB Peringkat Kebangsaan 2019 di Arena Badminton Perak, semalam.
KONTINJEN Kuala Lumpur muncul juara keseluruhan PPBB Peringkat Kebangsaan 2019 di Arena Badminton Perak, semalam.
Mohd Hafizee Mohd Arop


PROGRAM Pembangunan Bakat Badminton (PPBB) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hasil kerjasama Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) berjaya melahirkan 14 lagi bakat muda yang bakal mewarnai arena badminton negara pada masa depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, penganjuran tahun kedua itu dengan pertambahan tiga lagi kategori iaitu perseorangan lelaki dan perempuan 12 tahun serta beregu campuran dilihat mampu melahirkan bakat muda badminton negara.

Menurutnya, program itu tidak akan terhenti di sini saja kerana semua pemenang akan dibawa ke Tokyo, Jepun, awal tahun depan untuk bertanding dalam Kejohanan Badminton Junior Tiga Negara yang dianjurkan syarikat kenderaan Daihatsu Jepun.

“Kami mahu memberikan pendedahan kepada juara muda ini untuk merasai kejohanan sebenar di peringkat dunia supaya mereka tidak gugup berhadapan dengan pemain yang mempunyai fizikal lebih tinggi daripada mereka.

“Kejohanan itu disertai Jepun dan Kelab Alan Budi Kusuma dari Indonesia, yang pasti memberikan pengalaman baru kepada juara muda ini nanti,” katanya ketika ditemui selepas berakhirnya Kejohanan PPBB KPM-PERODUA Peringkat Kebangsaan 2019 di Arena Badminton Perak, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Sekolah), Dr Ahmad Rafee Che Kassim dan Pengarah Bahagian Pendidikan Sukan dan Seni KPM, Zainal Abas.

Zainal Abidin berkata, pihaknya akan melihat pula perancangan yang boleh dilakukan selepas ini kepada bakat muda dicungkil itu sebaik usia mereka menjangkau 13 tahun pada tahun depan.

Katanya, program berkenaan bukan saja melihat keupayaan atlet di dalam gelanggang, malah menerapkan nilai positif seperti hormat menghormati, disiplin, tekad, semangat kesukanan, ketepatan
masa serta penjagaan kebersihan.

Sementara itu, Zainal pula berterima kasih kepada PERODUA kerana menjalinkan kerjasama untuk menganjurkan program berkenaan yang ternyata berjaya dalam mencari bakat baharu badminton negara dan pencapaian kontinjen tahun ini juga semakin meningkat.

“Dalam melahirkan juara dunia seperti Datuk Lee Chong Wei bukan suatu perkara mudah dan ia perlu dilakukan bermula dari peringkat akar umbi seperti mana PPBB KPM-PERODUA ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 6:05 AM