RASHID (lima kiri) bergambar bersama bekas pemain  badminton negara lain selepas melancarkan majlis Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah. FOTO Syarafiq Abd Samad
RASHID (lima kiri) bergambar bersama bekas pemain badminton negara lain selepas melancarkan majlis Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah. FOTO Syarafiq Abd Samad
Ferzalfie Fauzi


MEMANDANGKAN wujud penurunan prestasi dalam kalangan pemain remaja berdasarkan aksi di Kejohanan Remaja Asia dan Kejohanan Remaja Dunia yang sedang berlangsung sekarang, Kelab Badminton Sports Affairs tampil memperkenalkan Program Juara Tangkis: Tun Dr Siti Hasmah.

Program berkenaan bakal diterajui oleh lapan legenda yang akan mencari bakat muda (18 tahun ke bawah) dan setiap pasukan bakal diwakili 12 pemain.

Lapan legenda yang bakal menerajui program pencarian bakat baru itu ialah Foo Kok Keong, Cheah Soon Kit, Rahman Sidek, Ong Ewe Hock, Roslin Hashim, Zakry Latif, Koo Kien Keat dan Woon Khe Wei.

Menurut Pengarah Program, Rashid Sidek, idea ini tercetus selepas melihat ramai bekas pemain di luar yang mampu untuk berkongsi ilmu dan pengalaman kepada bakat muda.

"Kita jadikan kesemua lapan bekas pemain ini sebagai ikon dan mereka akan melakukan sesi pemilihan melalui program jelajah ke beberapa negeri dalam mencari bakat muda," katanya dalam sidang media hari ini.

Ujarnya, 12 pemain yang dipilih dalam setiap lapan pasukan akan dibimbing legenda badminton berkenaan dan format untuk pasukan ialah berdasarkan Piala Sudirman.

"Kita juga bukan hanya pilih berdasarkan negeri yang dinyatakan saja (Kedah, Pahang, Johor, Sarawak, Sabah dan Kuala Lumpur) tapi turut membabitkan negeri lain.

"Selepas tamat aksi final Disember depan kita akan bincang semula dengan setiap lapan legenda ini untuk memilih pemain yang layak bermain di Akademi Sports Affairs," kata Rashid.

Dalam pada itu, Presiden Kelab Badminton Sports Affairs, Raezal Hussein mengakui mereka mendapat kerjasama dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam penganjuran program berkenaan.

"Kita menyediakan platform dan ia juga ibarat peluang kedua buat pemain yang tidak berada dalam lingkaran BAM dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 7:12 PM