NORZA (tiga dari kiri) bergambar bersama pemenang pada majlis penutup dan penyampaian hadiah Kejohanan Badminton Kebangsaan Bawah 21 tahun 2017 Celcom dan Axiata di Stadium SUKPA, Indera Mahkota, semalam.
NORZA (tiga dari kiri) bergambar bersama pemenang pada majlis penutup dan penyampaian hadiah Kejohanan Badminton Kebangsaan Bawah 21 tahun 2017 Celcom dan Axiata di Stadium SUKPA, Indera Mahkota, semalam.
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Persatuan badminton negeri perlu lebih aktif menganjurkan kejohanan di peringkat belia dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain berbakat untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, kini hanya ada beberapa persatuan negeri saja yang aktif menganjurkan pertandingan setiap tahun.

Katanya, fenomena itu tidak seharusnya berlaku terutama dalam usaha meletakkan sukan badminton negara di persada dunia seperti pernah dikecapi satu ketika dulu.

“Setiap negeri perlu bekerjasama dengan BAM dalam usaha melahirkan pemain muda berbakat untuk mengisi tempat barisan senior yang satu hari nanti akan meninggalkan gelanggang badminton.

“Tanpa usaha dan perancangan tersusun persatuan negeri, sukan badminton negara tidak akan berjaya,” katanya dalam majlis penutup dan penyampaian hadiah Kejohanan Badminton Kebangsaan Bawah 21 tahun 2017 Celcom Axiata di Stadium SUKPA, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Datuk Mohd Johari Hussain dan Presiden Persatuan Badminton Pahang (PBP), Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah.

Kejohanan selama empat hari itu disertai 164 pemain seluruh negara bersaing dalam lima kategori lelaki dan perempuan.

Mohamad Norza berkata, hanya ada beberapa persatuan negeri saja seperti Pulau Pinang, Selangor dan Pahang yang dilihat aktif menganjurkan kejohanan bawah umur secara berterusan setiap tahun.

Beliau berkata, usaha mencungkil bakat baru dalam kalangan belia perlu dilakukan bermula di peringkat daerah seterusnya negeri, selain program pemilihan dan kem latihan penganjuran kejohanan juga penting.

“Saya memuji kesungguhan ditunjukkan PBP yang menganjurkan kejohanan badminton bawah umur peringkat negeri dan kebangsaan, persatuan lain perlu mengikut contoh PBP jika ingin melahirkan lebih ramai pemain muda berkualiti.

“BAM sedia membantu persatuan negeri yang ingin menganjurkan kejohanan bagi memastikan pertandingan diadakan lebih berjaya seterusnya mencapai matlamat penganjuran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 11:43 AM