Ahmad Samsuri (tengah) pada Kongres Tahunan PBSNT 2019. NSTP/ROZAINAH ZAKARIA
Ahmad Samsuri (tengah) pada Kongres Tahunan PBSNT 2019. NSTP/ROZAINAH ZAKARIA
Malik Muhamad


PEMANGKU ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain sah dinaikkan 'pangkat’ selaku ketua jurulatih skuad Penyu bagi menghadapi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pelantikan itu diumumkan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam sidang media selepas Kongres Tahunan PBSNT di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, bekas penyerang Terengganu itu diberi kepercayaan membimbing skuad TFC selepas mengambil kira prestasinya ketika mengambil alih tugas pemangku ketua jurulatih bermula pada 15 Mei lalu.

Ahmad Samsuri berkata, Nafuzi akan dibantu penolong jurulatih baharu, Subri Sulong akan diberi mandat sepenuhnya untuk membentuk barisan pemain terbaik bagi saingan musim 2020.

"Kami lihat keberkesanan Nafuzi meningkatkan pasukan walaupun diberi masa yang singkat musim ini selain berjaya menaikkan prestasi pemain dan berani mengetengahkan pemain muda.

"Jawatankuasa PBSNT bersetuju melantik Nafuzi memegang jawatan ketua jurulatih TFC manakala Subri yang membantu pasukan Piala Belia Terengganu meraih trofi musim ini dilantik sebagai penolong jurulatih.

“Bagi jawatan ketua jurulatih TFC II pula, jawatankuasa melantik penolong jurulatih musim ini, Roshadi Wahab menerajui pasukan manakala pasukan Piala Presiden diketuai Badrul Afzan Razali dan pasukan Belia akan dibimbing Wan Adremy Indera Wan Adnan.

“Sebanyak 60 peratus muka baharu akan menyarung jersi skuad TFC musim depan dalam rombakan pasukan dengan sasaran 80 peratus adalah anak jati negeri Terengganu sekali gus dapat menjimatkan kewangan PBSNT selain mengetengahkan bakat anak tempatan,” ujar Ahmad Samsuri.

Turut hadir Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim dan barisan jawatankuasa PBSNT.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu memaklumkan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak akan menjadi gelanggang rasmi pasukan TFC dalam saingan Liga Super musim depan.

Pasukan TFC II pula akan beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 3:49 PM