Azlan (kiri) dan Steinbruckner dikaitkan melatih TFC. FOTO NSTP.
Azlan (kiri) dan Steinbruckner dikaitkan melatih TFC. FOTO NSTP.
Malik Muhamad


BEKAS pengendali skuad T-Team, Tomislav Steinbruckner dan Azlan Johar antara jurulatih yang menyatakan keinginan untuk mengisi 'kerusi panas' Terengganu FC (TFC) selepas pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim meletak jawatan.

Malah jurulatih berpengalaman itu juga bersedia kembali ke bumi Terengganu pada bila-bila masa jika diberi peluang Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Menurut sumber, dua jurulatih itu sudah menghantar permohonan secara rasmi kepada PBSNT.

"Kita menerima banyak permohonan daripada jurulatih dan ejen jurulatih dari dalam dan luar negara menunjukkan kesediaan untuk membimbing TFC.

"Antara yang berminat dan sudah menghantar permohonan secara rasmi adalah dua jurulatih itu (Steinbruckner dan Azlan).

"Bagaimanapun kita belum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan jurulatih itu dalam masa terdekat kerana banyak perkara yang perlu dilakukan," kata sumber itu.

Sementara itu, Azlan berkata, beliau berminat untuk membimbing skuad TFC sebagai mengenang jasa PBSNT yang sebelum ini pernah menggunakan khidmatnya sebagai pemain.

“Saya pilih untuk berbakti dengan pasukan TFC sebagai membalas jasa pihak pengurusan skuad itu yang sebelum ini memberi peluang kepada saya beraksi bersama pasukan itu bermula 1987 hingga 1989 sebagai penyerang.

“Pada masa sama, pengurusan skuad itu adalah antara yang terbaik kini, jadi sudah tiba masanya saya menabur bakti kepada pasukan itu sebagai jurulatih. “Bagaimanapun terserah kepada pihak pengurusan PBSNT untuk membuat keputusan lebih-lebih lagi saya difahamkan ramai jurulatih dari dalam dan luar negara juga berminat melatih skuad itu,” katanya yang memperoleh lesen jurulatih bola sepak Kelas A ketika berusia 30 tahun.

Kerusi ketua jurulatih TFC kosong sejak 15 Mei lalu selepas Irfan meletak jawatan secara mengejut berikutan prestasi tidak konsisten pasukan dan kini tugas itu dipikul penolong jurulatih, Nafuzi Zain sebagai pemangku ketua jurulatih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 8:38 PM