Kecederaan de Bruyne (kanan) tidak bimbangkan Guardiola. FOTO REUTERS
Kecederaan de Bruyne (kanan) tidak bimbangkan Guardiola. FOTO REUTERS
Reuters

PENGURUS Manchester City Pep Guardiola meredakan kebimbangan mengenai kecederaan melanda Kevin de Bruyne dengan kemungkinan bakal berehat lama.

Dia mengatakan pemain tengah itu akan kembali beraksi pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Wolverhampton Wanderers, Ahad ini.

Pemain antarabangsa Belgium itu terlepas pada perlawanan City menang 2-0 ke atas Dinamo Zagreb pada perlawanan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi akibat kecederaan pangkal paha dialami ketika menentang Everton, minggu lalu.

“Ia tidak serius, dia tidak dapat bermain dengan baik semalam tetapi kita tengok Ahad ini,” kata Guardiola.

“Sekarang saya tidak tahu. Mungkin boleh sekiranya kita mengambil risiko tetapi saya merasakan dia akan kembali cergas selepas rehat antarabangsa.”

De Bruyne membuat permulaan sensasi musim ini bersama City, menjaringkan dua gol dan melakukan sembilan bantuan dalam sembilan penampilan dalam semua pertandingan.

Selepas kunjungan Wolves ke Stadium Etihad, City akan berehat selama dua minggu untuk rehat antarabangsa sebelum berdepan Crystal Palace pada 19 Otkober.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 1:53 PM