DE Bruyne nadi pasukan City.
DE Bruyne nadi pasukan City.
AFP

London: Kevin De Bruyne yakin Manchester City mampu menangani tekanan hebat daripada Liverpool dalam pertarungan merebut gelaran Liga Perdana.

City berdepan aksi sengit pada babak pertama sebelum menewaskan Brighton 3-0 dengan semua jaringan diperoleh selepas rehat dalam aksi di Stadium Etihad, semalam.

De Bruyne bertindak cemerlang menerusi larian dan hantaran kepada Riyad Mahrez untuk gol pendahuluan City dan kemenangan itu membolehkan skuad Pep Guardiola satu mata mengatasi Liverpool dengan baki enam perlawanan.

Ia respon terbaik kepada Liverpool yang membelasah Manchester United dan juga kemenangan Reds ke atas City dalam separuh akhir Piala FA minggu lalu.

Pemain tengah Belgium, De Bruyne percaya cara City mengatasi 'kedegilan' Brighton menunjukkan mereka mampu menangani tekanan dalam memburu gelaran liga.

"Mungkin ia meresahkan penyokong tetapi saya berasakan tindakan kami adalah betul," kata De Bruyne.

"Memang sukar kerana semua orang tertekan tetapi kami tidak terjejas dengan tekanan. Pada babak kedua kami mendapat dua gol pertama dan menjadikan tugas lebih mudah. Saya fikir kami lakukannya dengan berkesan."

City menerima kunjungan Watford malam esok sebelum menghala tumpuan kepada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Real Madrid minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 8:42 AM