KEVIN DE BRUYNE
KEVIN DE BRUYNE
AFP

MANCHESTER: Kepulangan Kevin De Bruyne yang kembali beraksi dianggap tepat pada masanya buat Manchester City ketika skuad bimbingan Pep Guardiola bakal menempuh jadual yang padat sepanjang tempoh perayaan.

Pemain tengah Belgium itu yang hanya beraksi selama 96 minit musim ini kembali diturunkan ketika aksi suku akhir Piala Liga menentang Leicester City yang menyaksikan City menang menerusi penentuan penalti.

Dia berjaya beraksi untuk tempoh 70 minit dalam perlawanan itu sejak mengalami kecederaan lutut buat kali kedua musim ini ketika menentang Fulham dalam saingan Piala Liga, 1 November lalu.

“Saya sudah berehat lama, jadi dapat beraksi selama 70 minit boleh dianggap petanda positif buat saya. Saya masih ada rasa kesakitan tetapi saya gembira dapat bersaing semula,” kata De Bruyne.

Pertembungan City dengan Crystal Palace dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam esok akan menjadi yang pertama bagi enam perlawanan yang perlu diharungi dalam tempoh 16 hari untuk tiga kejohanan berbeza. 

Situasi itu menjadikan Guardiola cukup terdesak untuk memiliki semua bintang utamanya dalam pasukan.

Guardiola turut menerima khabar gembira apabila Sergio Aguero turut kembali beraksi pada pertengahan minggu selepas diketepikan sejak hujung November lalu kerana masalah kecederaan pangkal paha.

Kepulangan De Bruyne tetap sesuatu yang dinantikan penyokong City biarpun pasukan berkenaan berjaya merekodkan 14 kemenangan dan dua seri daripada 17 perlawanan liga dan seolah-olah tidak terkesan dengan ketiadaan pemain tengah itu.

De Bruyne memainkan watak penting terhadap kejayaan pasukan itu musim lalu apabila beraksi dalam 52 perlawanan liga dan piala buat City sekali gus dinobatkan pemain terbaik kelab itu.

Dia juga berdepan masalah jadual perlawanan antarabangsa yang padat dengan dia membantu Belgium menamatkan kempen Piala Dunia di tangga ketiga.

Guardiola ketika itu melahirkan kebimbangannya terhadap De Bruyne apabila bimbang pemain itu tidak mendapat rehat yang cukup selepas terpaksa bermain jumlah perlawanan yang banyak untuk kelab dan negaranya.

Dia mengalami kecederaan lutut kanan ketika latihan – hanya sempat beraksi satu perlawanan pada musim baharu dan selepas kembali beraksi dia kemudian mengalami masalah kecederaan lutut kiri pada pertemuan dengan Fulham.

Bagi De Bruyne dia kurang bernasib baik dengan apa yang menimpanya.

“Saya bermain lebih banyak berbanding mana-mana pemain di seluruh dunia. Dan saya bermain dalam Piala Dunia tanpa sebarang masalah.

“Saya fikir apa yang paling penting adalah cuti musim panas – jika kamu mendapatnya, kamu akan rasa OK .

“Namun, saya rasa semuanya berjalan dengan baik ketika ini, cuma agak malang apabila hanya selepas seminggu kembali saya terpaksa berehat selama dua bulan setengah selepas itu,” katanya.   

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 12:32 PM