IFWAT alami kecederaan ketika menentang PKNP.
IFWAT alami kecederaan ketika menentang PKNP.
Syazwan Msar


PENJAGA gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim terpaksa digugurkan daripada skuad Harimau Malaya untuk menghadapi perlawanan antarabangsa sepanjang Oktober hadapan berikutan kecederaan dialami pemain terbabit baru-baru ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan menerusi Facebook memaklumkan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengambil keputusan memanggil penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid untuk menggantikan Ifwat.

Ifwat dilaporkan mengalami kecederaan dan kelihatan tidak selesa pada babak pertama aksi suku akhir pertama menentang PKNP FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Rabu lalu.

Pasukan negara dijadualkan menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 5 Oktober dan seterusnya aksi ketiga Kumpulan G Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 10 Oktober.

Seramai 25 pemain dipanggil untuk menghadiri latihan pusat yang akan bermula pada 30 September.

Ifwat tersenarai dalam skuad negara ketika menang 3-2 ke atas Indonesia dan tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) namun tidak diturunkan pada kedua-dua perlawanan.

Dalam dua perlawanan lalu, Farizal Marlias yang juga menggalas peranan sebagai kapten pasukan adalah pilihan pertama Cheng Hoe.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 9:38 PM