GAYA Akhyar selepas menjaringkan gol ketika menentang Kemboja.  FOTO AFF
GAYA Akhyar selepas menjaringkan gol ketika menentang Kemboja. FOTO AFF
Firdaus Hashim


Singapura: Kem negara makin tenat apabila pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe mengesahkan pemain sayap lincah, Akhyar Rashid didapati positif Covid-19.

Jelas Cheng Hoe, tindakannya tidak menyenaraikan Akhyar ketika skuad Harimau Malaya turun berdepan Laos adalah disebabkan tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu positif Covid-19 selepas ujian calitan dilakukan pagi tadi.

Pada aksi kedua Kumpulan B Piala AFF di Stadium Bishan, di sini petang tadi, skuad negara merakam kemenangan besar 4-0 ke atas Laos.

"Sudah tentu Akhyar beraksi baik ketika menentang Kemboja, tapi hasil ujian Covid-19 pagi ini, dia positif (Covid-19) dan tak dapat beraksi bersama kami dan dia perlu direhatkan sebelum menyertai pasukan semula," kata Cheng Hoe.

Sebelum ini, tiga pemain negara terpaksa diketepikan untuk meninggalkan pasukan dengan hanya 21 pemain daripada 24 yang dibawa ke kempen kali ini.

Ia selepas pasukan kehilangan Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim yang didapati positif Covid-19 selain Junior Eldstal yang mengalami kecederaan di bahagian perut.

Dengan perkembangan terbaharu ini, Cheng Hoe kini hanya tinggal 20 pemain untuk menghadapi Vietnam dalam aksi ketiga kumpulan di Stadium Nasional Singapura, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 8:26 PM