AKSI skuad B-15 ketika Kelayakan Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 hari ini.
AKSI skuad B-15 ketika Kelayakan Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 hari ini.
Meor Riduwan Meor Ahmad


KEALPAAN 25 saat terakhir membawa padah kepada skuad bawah 15 tahun (B-15) pada aksi terakhir Kelayakan Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia(AFC) 2020 hari ini apabila diikat Jepun 2-2 sekali gus terlepas tiket ke Bahrain.

Terdahulu skuad P Maniam yang terdesak untuk menang untuk layak dikejutkan dengan layangan kad merah ke atas penjaga gol, Zulhilmi Sharani yang menjatuhkan penyerang lawan sekali gus menghadiahkan sepakan penalti kepada skuad Samurai Biru yang disempurnakan Rui Osako pada minit ke-63.

Pemain negara tidak berputus asa membalas serangan biarpun bermain dengan 10 pemain dan menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti disempurnakan Daniel Edzuan Anuar pada minit ke-73 selepas penyerang negara dijatuhkan pemain lawan.

Tersentak dengan gol penyamaan itu, anak buah Yoshiro Moriyama yang menguasai perlawanan di babak pertama terus melakukan asakan, namun Malaysia berjaya menjaringkan gol kedua menerusi tandukan Daniel Edzuan pada minit ke-82 hasil sepakan sudut diambil Aliff Izwan Yuslan.

Namun, kealpaan pertahanan menyaksikan Naito Yamato mudah menanduk masuk bola hantaran lintang Taishin Yamazaki dari sebelah kiri pada minit ke-94 menewaskan Aizul Hakim Mohd Zabni.

Kedua-dua pasukan secara keseluruhan mempunyai beberapa percubaan tepat namun gagal menghasilkan gol.

Sementara itu, Maniam menganggap Malaysia sepatutnya menang perlawanan ini dan tetap memuji aksi bertenaga dan semangat juang dipamerkan pemainnya.

"Bagi saya Malaysia memang berhak menang dalam perlawanan hari ini. Anda dapat lihat semangat juang pemain dan banyak aspek positif dalam pasukan ini.

"Pemain saya mempamerkan peningkatan dan mencipta banyak peluang menjaringkan gol. Bermain dengan 10 pemain dan ketinggalan, namun berjaya bangkit dan mendahului 2-1," katanya.

Beliau berkata, amat kagum dengan permainan hebat dipamerkan pemain namun kesilapan kecil di minit akhir menyebabkan Malaysia dihukum.

"Namun, sebagai rakyat Malaysia saya amat berbangga menjadi jurulatih skuad ini kerana mereka bermain dengan penuh semangat dan mereka adalah pemain berbakat untuk masa depan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 7:34 PM