DARREN berjaya menjaringkan gol kemenangan PJ City pada minit ke-52. FOTO Ihsan PJ City
DARREN berjaya menjaringkan gol kemenangan PJ City pada minit ke-52. FOTO Ihsan PJ City
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Pengendali PJ City, P Maniam menyifatkan kemenangan ke atas Sabah FC di Stadium Likas, malam tadi, sebagai sesuatu yang sukar dipercayai.

Katanya, mencatat kemenangan di Sabah bukanlah sesuatu yang mudah namun semangat juang yang dipamerkan anak didiknya menjadikan perkara itu satu kenyataan.

"Ia (kemenangan) bukan datang dari saya, ia datang dari para pemain, mereka menunjukkan semangat juang yang tinggi.

"Menang perlawanan di Sabah sesuatu yang sukar dipercayai tetapi kami berjaya melakukannya hasil usaha keras pemain," katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.

Pada perlawanan itu, gol tunggal Darren Lok pada minit ke-52 mengesahkan tiga mata menjadi milik PJ City walaupun secara keseluruhan skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu menguasai permainan.

Gol itu berpunca hasil sepakan kurang kemas dilakukan pertahanan import Sabah FC, Ristro Mitrevski yang menuju ke pintu gol sendiri seterusnya terkena tiang dan Darren kemudian berada di posisi baik untuk melakukan penyudah.

Sementara itu, Kurniawan berkata, beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan pertama skuad Badak di gelanggang sendiri itu.

Katanya, pasukannya tewas kerana PJ City beraksi dengan lebih bersemangat berbanding Sabah FC.

"PJ City bermain dengan semangat yang begitu tinggi sekali, kita kalah dengan semangat mereka... apapun saya bertanggungjawab atas kekalahan ini.

"Banyak yang perlu dilihat dalam perlawanan ini, kita akan perbaiki kelemahan yang ada agar tidak berulang dalam aksi akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 11:36 AM