Agensi

Brasilia: Lionel Messi menggesa rakan sepasukan mempamerkan semangat juang tinggi ketika menentang Uruguay dalam kempen Copa America pagi esok.

Messi meledak gol tunggal Argentina menerusi sepakan percuma memukau namun tidak mencukupi untuk menewaskan Chile.

Eduardo Vargas menyamakan kedudukan buat La Roja dan walaupun Argentina mencipta banyak peluang mereka gagal menembusi gawang dikawal Claudio Bravo.

Nicolas Gonzalez yang makin hampir menyertai Brighton and Hove Albion membazirkan beberapa peluang terbaik. Dia membuat enam percubaan namun gagal mendapatkan sebarang gol.

Lionel Scaloni dilaporkan akan merehatkan Gonzalez yang baru pulih kecederaan dialami sebelum kejohanan manakala Cristian Romero menyertai kesebelasan utama.

Bagaimanapun, Messi mahukan sesiapa sahaja yang bermain lebih bermotivasi di atas padang ketika menentang Uruguay yang tidak tewas lima aksi terakhir di Copa America (selepas 90 minit).

Dalam Instagramnya, pemenang enam kali Ballon d'Or itu berkata: "Kami bersiap sedia untuk bertanding dan kami akan terus berjuang untuk menang setiap perlawanan. Vamos Argentina!"

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 9:39 AM