STADIUM Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
STADIUM Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


MAJLIS Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) selaku pihak yang bertanggungjawab menguruskan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, memandang serius pendedahan Arena Metro mengenai stadium itu yang tidak mempunyai sijil pematuhan kod (CCC) atau sijil layak menduduki (CF).

Datuk Bandar MBKT, Shahidan Embok berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) jika ada pihak yang meragui keselamatan stadium berusia 52 tahun itu.

“Kita memandang serius perkara ini bagi mengelak daripada berlakunya perkara tidak diingini sama ada kepada peminat, pemain dan juga mereka yang berada di dalam stadium.

“Jika ada kemungkinan atau ada pihak yang meragui keselamatan contohnya seperti Pasar Kedai Payang tempoh hari, barulah kita lantik pemeriksa bebas yang bertauliah untuk menyiasat sebelum membuat cadangan kepada kerajaan mengenai status stadium itu.

“Namun setakat ini belum ada lagi isu keselamatan yang dilaporkan mana-mana pihak dan juga tidak ada isu berkaitan perkara itu di stadium berkenaan,” kata Shahidan yang mengakui stadium berkenaan sudah lama dibina dan waktu itu tidak tahu keperluan CF.

Akhbar ini semalam melaporkan Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (PETEH) dan Kelab Penyokong TFC mengaku terkejut dengan pendedahan Arena Metro mengenai stadium itu yang tidak ada CCC atau sijil CF.

Kelab terbabit meminta pihak bertanggungjawab yang mengendalikan dan menguruskan stadium itu segera melakukan pemeriksaan termasuk mendapatkan sijil layak menduduki bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Stadium yang dibuka pada 27 Ogos 1967 itu kini hanya mampu memuatkan kira-kira 10,000 penyokong.

Kelab penyokong juga tidak mahu insiden buruk sebagaimana runtuhan sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak pada 9.30 pagi 2 Jun 2009 berulang biarpun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan dan kehilangan nyawa.

Kelmarin, Arena Metro melaporkan sebanyak 13 daripada 21 stadium utama di negara ini dibaratkan bom jangka kerana memperjudikan keselamatan pemain dan penonton yang berada di dalam stadium itu berikutan tidak mempunyai CCC dan CF.

Jika berlaku kejadian tidak diingini bermakna puluhan ribu penonton berkemungkinan kehilangan nyawa atau mengalami kecederaan serius sekiranya pemilik stadium tidak mengambil cakna tahap keselamatan stadium berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 6:00 AM