PEKERJA Perbadanan Stadium Darul Makmur menyelenggara rumput agar menepati piawai yang dibenarkan. FOTO Zulkepli Osman
PEKERJA Perbadanan Stadium Darul Makmur menyelenggara rumput agar menepati piawai yang dibenarkan. FOTO Zulkepli Osman
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KERAJAAN negeri Pahang melalui perbadanan pengurusan stadium akan berusaha ke arah mendapatkan sijil pematuhan kod (CCC) atau dikenali sebagai sijil layak menduduki (CF) untuk Stadium Darul Makmur, dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata, sehubungan itu pihaknya memperuntukkan kira-kira RM100,000 bagi menaik taraf dan membaik pulih segala kemudahan di gelanggang rasmi skuad Tok Gajah itu bagi membolehkan CF diberikan.

“Kita pandang serius isu ini (Stadium Darul Makmur tiada CF) dan langkah sudah kita ambil untuk kita dapatkan CF daripada pihak berkuasa, saya difahamkan ia berkait dengan isu keselamatan yang perlu kita titik beratkan.

“RM100,000 sudah diperuntukkan untuk kerja-kerja menambah baik ciri keselamatan Stadium Darul Makmur yang dibina sejak 1973.

“Walaupun sejak 46 tahun ia dibina tiada sebarang insiden besar namun kita ambil berat dan pandang serius isu ini,” katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan pameran hartanah MyRumah 2019 di kompleks beli belah Kuantan City Mall, di sini, hari ini.

PENGERUSI Jawatankuasa Sumber Manusia Belia Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain. FOTO Farizul Hafiz Awang
PENGERUSI Jawatankuasa Sumber Manusia Belia Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain. FOTO Farizul Hafiz Awang

Harian Metro dalam laporan khasnya Isnin lalu mendedahkan sebanyak 13 daripada 21 stadium utama di seluruh negara disahkan tidak mempunyai CF sekali gus mengundang berlakunya kejadian tidak diingini.

Antara stadium yang tiada CF adalah Stadium Darul Makmur, Pahang; Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor; Stadium Tunku Abdul Rahman, Negeri Sembilan; Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak dan Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan.

Selain itu, turut dikenal pasti tiada sijil berkenaan Stadium Tuanku Syed Putra, Perlis; Stadium Bandaraya, Pulau Pinang; Stadium Likas, Sabah; Stadium Negeri, Sarawak dan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Mohd Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, memaklumkan pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang isu keselamatan membabitkan venue skuad Pahang itu dan menyerahkan penelitian berhubung proses naik taraf dilakukan segera.

“Saya minta mereka (perbadanan pengurusan stadium) lakukan segera dan kenal pasti apa yang perlu kita naik taraf,” katanya.

Beliau berharap sebaik ia dinaik taraf Stadium Darul Makmur dapat menjadi penganjur kepada kejohanan besar dan bertaraf antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 10:17 PM