GARETH BALE
GARETH BALE
AFP

GARETH Bale berharap kemenangan 2-1 Wales ke atas Azerbaijan mampu menjadi titik perubahan dalam misi layak ke Euro 2020 selepas bintang Real Madrid itu menyelamatkan maruah pasukannya awal pagi tadi.

Ketika perlawanan berbaki enam minit di Stadium Cardiff City, skuad Ryan Giggs hampir mencatat keputusan seri yang mungkin meranapkan harapan mereka mara ke Kejuaraan Eropah tahun depan.

Biarpun mendahului menerusi jaringan Pavlo Pashayev ke gawang sendiri pada separuh masa pertama, Wales dikejutkan dengan gol penyamaan Mahir Emreli selepas rehat separuh masa.

Wales yang ketika ini berdepan masalah dalam Kumpulan susulan kekalahan berturut-turut di tangan Hungary dan Croatia, diselamatkan kapten mereka apabila Bale menanduk masuk jaringan pada jarak dekat.

Wales kini di tangga ketiga, tiga mata di belakang Hungary dan Croatia selepas empat perlawanan.

"Azerbaijan menjadikan perlawanan tampak sukar. Ada kalanya kami terlalu cuai. Kami berjaya mengatasinya dan menunjukkan karakter sebenar,” kata Bale.

“Kemenangan yang tidak sempurna ini diharap dapat memberikan anda mentaliti kemenangan dan momentum. Saya harap ia menjadi titik perubahan.

“Kami mahu menang bergaya tetapi tiga mata adalah tiga mata. Kami semua yakin mampu layak. Kami akan terus lakukannya hingga ke akhirnya.”

Giggs tidak kagum dengan aksi tidak menentu Wales, namun tetapi memuji kesungguhan mereka menamatkan perlawanan itu.

“Pada separuh masa, ia tidak cukup bagus. Kami tidak mengikut rancangan. Sesetengah pemain melakukan apa saja yang mereka mahu,” kata beliau.

“Kami menunjukkan karakter untuk bangkit. Semua orang perlukan sedikit tuah. Saya harap ia akan memberi momentum, itu yang kami perlukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 8:33 AM