ANGAN  (kanan) terpaksa rehat dua bulan.
ANGAN (kanan) terpaksa rehat dua bulan.
Nazri Abu Bakar


KHIDMAT penyerang utama Melaka United (MU), Davy Angan terpaksa dilupakan skuad terbabit sepanjang saingan Piala Malaysia musim ini.

Penggempur berasal dari Abidjan, Ivory Coast itu hanya sempat beraksi babak awal berdepan PDRM di pentas pembukaan Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput awal bulan ini, sebelum terpaksa melupakan saingan piala berprestij itu akibat kecederaan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Farhan Ibrahim berkata, berita terbaharu daripada pegawai perubatan mendedahkan pemain terbabit perlu menjalani pemulihan kira-kira dua bulan akibat fraktur fibula dan kecederaan ligamen.

Katanya, tahap pemulihan pemain itu juga mungkin lebih lama jika pergelangan kakinya juga masih tidak stabil akibat komplikasi kecederaan dialami.

"Minggu ini dia menjalani pemeriksaan pakar untuk kami mendapatkan butiran lanjut berkaitan status dan proses serta rangka sesi pemuliharan agresif yang dilakukan ke atas Angan," katanya.

Bagaimanapun, MUSA mengharapkan pemain terbabit akan segera pulih walaupun terpaksa melupakan saingan Piala Malaysia yang kini memasuki fasa pusingan kedua peringkat kumpulan D.

Farhan berkata, apa yang pasti dua baki perlawanan peringkat kumpulan bertemu Selangor dan PDRM, kelibat Angan tidak dapat ditagih walaupun perlawanan dijadualkan berlangsung pada 14 September di Jengka dan 18 September di Paya Rumput.

Malah, sekiranya skuad Hang Tuah mampu melangkah lebih jauh dalam saingan berkenaan, sentuhan Angan tetap tidak dapat ditagih skuad itu berdasarkan kesan kecederaan dialaminya.

Penyerang berbisa itu menyertai Melaka pada pertengahan musim ini bagi menggantikan khidmat Anselmo Casagarende yang dipinjamkan ke Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 7:06 PM