THOMAS mencatat empat di bawah par 68 untuk mengumpul 25 di bawah par 263 keseluruhan. FOTO Agensi
THOMAS mencatat empat di bawah par 68 untuk mengumpul 25 di bawah par 263 keseluruhan. FOTO Agensi
Reuters

JUSTIN Thomas tidak menjadi pada pusingan terakhir Kejuaraan BMW awal hari ini tetapi berjaya bertahan untuk kekal mendahului dengan kelebihan tiga pukulan untuk muncul juara di Medinah, Chicago.

Pemain Amerika Syarikat itu mencatat empat di bawah par 68 untuk mengumpul 25 di bawah par 263 keseluruhan, manakala rakan senegaranya Patrick Cantlay membuat 65 pukulan untuk tangga kedua dengan 22 di bawah par keseluruhan.

Thomas memulakan saingan hari itu dengan kelebihan enam pukulan tetapi melakukan bogey pada lubang ke-10 selepas hampir membuat pukulan ‘out of bound’ buat kali kedua, kelebihan ke atas Cantlay hanya berbaki dua pukulan.

Namun Thomas terus bertahan untuk baki tiga lubang, dua kali melakukan putt sejauh 12 kaki untuk kembali menguasai permainan.

“Patrick menjadikan permainan begitu menarik,” kata Thomas yang lega dengan kemenangan itu.

“Saya memukul bola dengan teruk pada awal hari. Saya hanya menyusahkan diri sendiri kerana biasanya saya bagus membuat pukulan ke fairway dan green tetapi saya gagal membuat pukulan fairway namun saya terus bersabar dan birdie pada lubang ke-11 memang memberi kesan.

“Saya benar-benar gementar hari ini. Sukar untuk bermain apabila anda mendahului perlawanan tetapi saya menikmatinya.”

Kemenangan ini adalah yang ke-10 buatnya dalam Jelajah PGA tetapi yang pertama buatnya tahun ini memandangkan berdepan kecederaan.

Thomas cedera pergelangan tangan pada Mac dan terpaksa berehat enam minggu.

“Saya sudah lupa betapa sukarnya untuk menang,” kata bekas pemain nombor satu dunia berusia 26 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 10:11 AM