AKSI Karolina ketika menentang  Anhelina  di  New York City. FOTO AFP
AKSI Karolina ketika menentang Anhelina di New York City. FOTO AFP
AFP

KAROLINA Pliskova mengetuai kemaraan bintang pilihan ketika pemain kurang ternama gagal mencipta kejutan di Terbuka Amerika Syarikat, hari ini.

Pilihan utama, Karolina tiada masalah di gelanggang kosong di Stadium Arthur Ashe mudah menewaskan pemain Ukraine, Anhelina Kalinina 6-4, 6-0 dalam masa 1 jam 3 minit.

Kemenangan mudah Karolina pada hari pembukaan melengkapkan kemaraan 15 daripada 16 pemain pilihan yang berjaya ke pusingan kedua.

Pemain nombor tiga dunia, Karolina yang menjadi pilihan utama selepas ketiadaan pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty dan ranking kedua, Simona Halep, bakal berdepan pemain Perancis, Caroline Garcia di pusingan seterusnya.

Karolina yang tewas awal di Terbuka Western & Southern ATP/WTA di New York, minggu lalu berkata, dia baharu sahaja menyesuaikan diri dengan gelanggang kosong di Terbuka susulan protokol Covid-19.

''Saya berasa lebih bagus berbanding aksi sebelum ini minggu lalu,'' kata bintang Czech itu.

''Saya fikir gelanggang tengah lebih sesuai untuk beraksi maksud saya tanpa penyokong tetapi saya rasa semakin bagus.''

Sementara itu, pilihan keempat, Naomi Osaka membuktikan tahap kecergasannya ketika bergelut menewaskan pemain senegara, Misaki Doi 6-2, 5-7, 6-2

Naomi, 22, yang menarik diri daripada final Terbuka Western & Southern akibat kecederaan hamstring tidak menampakkan sebarang masalah ketika menang dalam tempoh dua jam.

Pilihan keenam, Petra Kvitova pula mengatasi cabaran pemain Romania, Irina-Camelia Begu 6-3, 6-2 manakala pilihan ke-17 dari Jerman, Angelique Kerber yang juga juara Tebuka AS 2016, menempah slot pusingan kedua selepas menewaskan pemain Australia, Ajla Tomljanovic 6-4, 6-4.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 11:04 PM