KETUA jurulatih  Perak, Mehmed Durakovic bersama ketua pasukan, Shahrul Saad dan Aidil (kanan) bersama  ketua pasukan Kedah, Baddrol Bahtiar  pada sidang  media  final Piala FA  di Stadium Nasional Bukit Jalil.  -  FOTO Eizairi Shamsudin
KETUA jurulatih Perak, Mehmed Durakovic bersama ketua pasukan, Shahrul Saad dan Aidil (kanan) bersama ketua pasukan Kedah, Baddrol Bahtiar pada sidang media final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil. - FOTO Eizairi Shamsudin
Firdaus Hashim


PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak sanggup mengambil risiko apabila kemungkinan bakal menyenaraikan pemain kurang berpengalaman bagi menggantikan tonggak pertahanan Brazil, Renan Alves pada aksi final Piala FA menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Ketika ini daripada senarai pemain pertahanan tengah dimiliki, Aidil hanya mempunyai tiga pilihan pemain iaitu Syawal Nordin, Amirul Hisyam Awang Kechik dan Loqman Hakim.

Bagaimanapun, masalah kurang minit permainan oleh Syawal dan Amirul Hisyam menyaksikan pengendali dari Singapura itu hanya mempunyai Loqman sebagai calon untuk bergandingan dengan Shakir Hamzah.

Namun wujud keraguan tentang kebolehan Loqman yang masih muda dan kurang pengalaman untuk dipertaruhkan pada perlawanan sebesar final Piala FA.

"Dalam bola sepak memang sentiasa ada risiko, jadi siapapun yang akan diberikan tugas untuk bermain perlu berikan persembahan terbaik. Saya takkan umumkan (nama pengganti Alves) di sini kerana petang ini kami masih ada latihan terakhir.

"Kami dah lakukan banyak percubaan sepanjang minggu ini, tapi seperti saya katakan tadi, kami kena fokus kerana ia perlawanan sukar menentang Perak yang mampamerkan kebangkitan terutama di pusingan kedua (Liga Super)," katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Ujar Aidil, anak buahnya ketika ini cukup bermotivasi untuk menghampakan harapan menggunung skuad The Bos Gaurus yang mahu menamatkan kemarau kejuaraan 15 tahun mendakap trofi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 8:43 PM