Azmi Abdullah yakin perancangan ketua jurulatih. FOTO IZZALI ISMAIL
Azmi Abdullah yakin perancangan ketua jurulatih. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


KELAB penyokong Kedah yakin ketua jurulatih Aidil Sharin Shahak ada formula berkesan untuk menggantikan pemain pertahanan import, Renan Alves yang tidak dapat beraksi pada final FA menentang Perak, Sabtu ini akibat penggantungan kad merah.

Pengerusi Kelab Penyokong Red Eagle Frenz Kedah (REFK), Azmi Abdullah berkata, pengalaman barisan kejurulatihan mampu memilih pemain tempatan terbaik menggantikan Alves.

"Tiga pemain iaitu Amirul Hisyam Awang Kechik, Loqman Hakim dan Syazwan Tajudin antara calon memandangkan Khairul Helmi dan Syawal Nordin dalam proses pemulihan kecederaan.

"Sesiapa sahaja pilihan Aidil kita perlu beri sokongan penuh kerana kita bukan menyokong individu tetapi kita menyokong pasukan negeri kami cintai iaitu Kedah Darul Aman.

“Aura final kali ini berbeza dengan perlawanan biasa dan semangat skuad Lang Merah tidak boleh dibandingkan dengan aksi Liga Super.

"Kami yakin suasana final berbeza dengan perlawanan biasa apatah sorakan 40,000 penyokong Kedah bakal menghidupkan suasana di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Kami berharap aksi berkualiti oleh kedua-dua pasukan kerana perlawanan itu akan dikendalikan oleh pengadil professional dari Jepun.

"Dengan sokongan lebih 100 peratus kami berdoa dan mengharapkan Piala FA dibawa pulang ke Darul Aman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 2:31 PM