PASUKAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menjalani latihan sebelah malam di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) bermula 14 April lalu sebagai persiapan perlawanan dalam tempoh bulan Ramadan. FOTO KDA FC
PASUKAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menjalani latihan sebelah malam di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) bermula 14 April lalu sebagai persiapan perlawanan dalam tempoh bulan Ramadan. FOTO KDA FC
Oleh Izzali Ismail

Alor Setar : Dua pemain pertahanan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Loqman Hakim Marzuki dan Zulkhairi Zulkeply dijangka menjadi antara pilihan Ketua Jurulatih Aidil Sharin Sahak bagi melengkapkan benteng skuad Hijau Kuning pada aksi bertemu Perak FC di Stadium Perak esok malam.

Ini berikutan ketiadaan pemain pertahanan Rodney Celvin yang menjalani penggantungan kad merah yang diterimanya semasa perlawanan KDA FC menentang Terengganu FC (TFC) minggu lalu.

Selain ketiadaan Rodney, Kedah juga turut terkesan dengan dua lagi pemain pertahanan iaitu Renan Alves dan Rizal Ghazali yang juga dilihat masih berada dalam tempoh pemulihan kecergasan selepas mengalami kecederaan sebelum ini.

Jelas Aidil Sharin, disebalik ketiadaan beberapa pemain, 'peluang' yang ada ini harus diambil oleh Loqman Hakim dan Zulkhairi yang sebelum ini berada di bangku simpanan untuk membuktikan kemampuan mereka untuk terpilih pada perlawanan sabtu ini.

"Inilah masanya.. jika mendapat peluang dipilih, mereka harus membuktikan kemampuan sebenar dengan memanfaatkan peluang tersebut, sementara kami di bahagian kejurulatihan akan memberi sokongan serta semangat tambahan buat mereka

"Saya juga berharap semua pihak termasuk penyokong dapat memberi sokongan motivasi yang terbaik bagi menaikkan lagi semangat mereka sekiranya turun beraksi nanti ." katanya.

Aidil turut berkata tempoh pemulihan kecergasan yang masih dijalani oleh tonggak pertahanan utama Renan Alves dan Rizal Ghazali itu tidak akan mematahkan semangat pasukannya dalam usaha untuk bangkit semula memburu kemenangan pada perlawanan kali ini.

"Perkara itu tidak melemahkan semangat kami, malah kami mahu bangkit dari kekalahan lalu dan membuktikan kemampuan pasukan pada perlawanan hujung minggu ini.

"Meskipun beraksi dalam perlawanan pertama di bulan puasa ini, kami harus lebih bersedia mempersiapkan diri dengan latihan serta aturan pemakanan yang telah ditetapkan.

"Objektif utama kami adalah untuk mendapatkan tiga mata pada kali ini selepas kehilangan mata penting pada perlawanan menentang TFC minggu lalu." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 2:43 PM