PEMAIN Pahang, Saddil Ramdani diasak pemain FELDA United, Ahmad Tasnim Fitri  di Stadium Darul Makmur, Rabu lalu.
PEMAIN Pahang, Saddil Ramdani diasak pemain FELDA United, Ahmad Tasnim Fitri di Stadium Darul Makmur, Rabu lalu.
Asrol Awang

FELDA United FC tidak mahu terlalu memikirkan kemungkinan Kedah menurunkan barisan kedua pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, malam esok. 

Sebaliknya, pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil mengerah anak buahnya melakukan yang terbaik dalam usaha mencipta kemenangan ke atas skuad Lang Merah. 

"Saya tahu bukan mudah menewaskan Kedah yang diakui antara pasukan hebat selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang. 

"Mahu atau tidak, kami perlu menang dan tidak boleh memikirkan dua lagi pasukan iaitu PKNP FC dan Kuala Lumpur yang turut mahukan kemenangan untuk kekal dalam saingan (Liga Super) musim depan," katanya. 

Mohd Nidzam berkata, skuad kendaliannya itu perlu memperkuatkan jentera serangan dengan sokongan di bahagian tengah. 

Katanya, biarpun Kedah memiliki kelebihan berdasarkan barisan pemain, ia tidak boleh melemahkan semangat pemain. 

"Saya harap pemain lebih bijak mengawal permainan dan pada masa sama, mengelak daripada melakukan kesilapan mudah yang boleh menyekat pasukan kekal dalam liga musim depan. 

"Jentera pertahanan juga diharap mengekalkan fokus mereka sehingga tamat perlawanan," kata Nidzam yang juga bekas pemain kebangsaan. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 12:09 PM