AKHIMULLAH (kiri) tak dapat restu Oltsman untuk beraksi pada saingan Liga Hoki Remaja Malaysia.
AKHIMULLAH (kiri) tak dapat restu Oltsman untuk beraksi pada saingan Liga Hoki Remaja Malaysia.
Saiful Affendy Sapran


KUALA LUMPUR: Ketegasan ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Roelant Oltmans yang tidak membenarkan barisan pemain muda negara beraksi pada saingan Liga Hoki Remaja Malaysia mendorong penyerang negara, Akhimullah Anuar Esook untuk terus cuba merebut tempat di dalam skuad kebangsaan terutama pada siri Jelajah Eropah bermula hujung bulan depan.

Akhimullah adalah antara tiga pemain yang tidak mendapat restu Oltmans untuk beraksi bersama juara berganda, SSTMI Thunderbolts pada saingan liga bermula esok.

“Sudah tentu saya akan berusaha untuk mendapatkan tempat beraksi bersama skuad senior. Saya harap rezeki akan terus memihak kepada saya.

“Selepas seminggu menjalani latihan bersama skuad negara, saya rasa lebih yakin untuk beraksi bersama rakan sepasukan,” katanya.

Penyerang muda negara berusia 19 tahun itu mengakui tidak dapat memberi impak yang besar pada penampilan pertama bersama skuad senior di Pusingan Akhir Siri FIH di Kuala Lumpur bulan lalu selepas dipanggil secara mengejut menggantikan Shahril Saabah.

“Memang banyak yang perlu saya perbaiki dan ramai juga pemain senior menegur kesilapan yang saya lakukan,” katanya.

Nama Akhimullah mula menyinar selepas melakar sejarah membantu pasukan bawah 18 tahun negara memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Remaja (YOG) di Buenos Aires, Argentina tahun lalu.

Sejak itu, dia mula dipanggil untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 8:00 AM