AKSI tangkas dipamerkan pemain Selangor dan Melaka.
AKSI tangkas dipamerkan pemain Selangor dan Melaka.
Firdaus Hashim

PASUKAN futsal Selangor menghantar isyarat kepada semua pencabar dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) apabila merakam kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Melaka 3-1 di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, hari ini.

Kejayaan meraih enam mata itu bukan saja meletakkan skuad kendalian Addy Shairullyzam Mohd Shafiee di kedudukan teratas liga, malah mereka kini dilihat antara pasukan pilihan untuk menjulang trofi berkenaan musim ini.

Bagaimanapun, tonggak senior pasukan iaitu Muhammad Shamsul Akmar Zamri enggan mendabik dada sebaliknya mahu rakan sepasukan mengekalkan fokus terutama menjelang aksi ketiga menentang Pahang di venue yang sama pada Ahad ini.

"Saya harap kita kekal fokus kerana aksi selepas ini bertemu Pahang bukan mudah. Mereka rata-rata dibarisi pemain kebangsaan dan ia akan menjadi ujian sebenar buat kami.

"Oleh itu pasukan kena kekal fokus dan jadikan kemenangan ke atas Perak ini sebagai motivasi terbaik sebelum perlawanan ketiga," katanya yang menjaringkan satu gol dalam aksi menentang Melaka itu sekali gus dinobatkan pemain terbaik perlawanan.

Dalam aksi itu, Selangor terlebih dulu meraih gol pembukaan menerusi Syed Aizad Daniel pada minit kedua sebelum Muhammad Azri Rahman dan Shamsul menyumbang dua lagi gol masing-masing minit ketujuh dan 36.

Melaka bagaimanapun cuba bangkit dengan gol sagu hati pada minit ke-11 menerusi Mohamad Danial Abdul Dain namun ia tetap tidak dapat menghalang daripada tuan rumah melakar kemenangan di depan penyokong sendiri.

Sementara itu, Addy mengakui gembira dengan prestasi pemainnya yang bermain mengikut taktikal yang diatur pasukan.

"Pemain menunjukkan kesungguhan serta mengikut arahan diberikan. Ia petanda positif kepada kami dan saya harap pasukan akan dapat kekalkan momentum ini terutama apabila bertemu Pahang," kata jurulatih itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 10:30 PM