Dollah mahu keputusan selesa apabila Pahang menanti kunjungan Perak pada aksi Piala FA. FOTO NSTP
Dollah mahu keputusan selesa apabila Pahang menanti kunjungan Perak pada aksi Piala FA. FOTO NSTP
Asrol Awang


PAHANG menyenaraikan kesebelasan utama apabila melayan kunjungan Perak pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan, esok. 

Ia disahkan pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh yang mahu anak buahnya meraih keputusan selesa sebagai bekalan menjelang kunjungan ke Stadium Perak, Ipoh, minggu depan (29 Jun). 

"Saya gembira kerana kita tiada masalah penggantungan dan kecederaan pemain apabila bertemu Perak malam esok. 

"Oleh itu, saya mengharapkan semua pemain dapat mempersembahkan corak permainan terbaik untuk mengecewakan lawan. 

"Musim ini, pasukan hanya dapat menyenaraikan kesebelasan utama dalam tiga perlawanan awal sebelum berdepan kecederaan dan penggantungan," katanya. 

Dollah tetap mempertaruhkan dua `permata hitam' iaitu Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi di bahagian serangan. 

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, peningkatan permainan dan persefahaman dua penyerang import itu ketika berdepan PKNP FC Selasa lalu, dilihat dapat membantu pasukan melakar kemenangan. 

"Sentuhan jaringan Nwakaeme dan Kaimbi sangat diperlukan dalam masa yang sama pemain lain juga diharap berada pada prestasi lebih baik," katanya. 

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan musim ini, skuad Tok Gajah seri 0-0 dalam saingan Liga Super di Kuantan pada 19 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 12:56 PM