Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik. FOTO NSTP
Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


SELEPAS dikelaskan sebagai pemain badminton paling cemerlang untuk 2019, tugas beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan bersambung tahun depan iaitu melayakkan diri ke Sukan Olimpik buat kali pertama.

Bagaimanapun, naib juara Seluruh England itu disarankan untuk memperbaiki kelemahan mereka terutama dari segi kekuatan mental yang dilihat menjadi punca tumpas di saat akhir.

Menurut bekas beregu lelaki negara, Zakry Latif, walaupun Aaron-Wooi Yik adalah pemain paling menonjol tahun ini namun beliau mahu melihat pasangan berkenaan beraksi lebih konsisten.

"Mereka bermain dengan baik sekali cuma ketika di hujung saingan ada saja perkara tidak kena dan mereka harus belajar dari situ," katanya.

Menurut Zakry, Aaron-Wooi Yik sering melakukan kesilapan di saat akhir walaupun dari segi corak permainan pemenang pingat emas Sukan Sea Filipina itu terkenal dengan aksi menyerang.

"Saya suka lihat mereka beraksi sebab mempamerkan permainan agresif namun mereka harus memperbaiki dari segi ketahanan mental dan dari situ mereka mampu untuk meraih lebih banyak kejuaraan sekali gus mara ke Olimpik Tokyo 2020.

"Buat masa sekarang mereka tidak boleh berasa selesa walaupun berada di tangga teratas ranking beregu lelaki negara dalam saingan kelayakan Olimpik. Mereka harus sedar Goh V Shem-Tan Wee Kiong sedang mengejar," katanya.

Aaron-Wooi Yik menduduki ranking kesembilan kelayakan Olimpik Tokyo dengan mengumpul 50,941 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 12:53 PM