LEE YING YING
LEE YING YING
Ferzalfie Fauzi


TRIO perseorangan wanita negara yang menyertai Masters Orleans di Paris minggu ini akan menjadikan kejohanan itu sebagai medan untuk menarik perhatian jurulatih bagi dipilih ke Piala Uber, Mei depan.

Lim Yin Fun, S Kisona dan Lee Ying Ying tidak harus melepaskan peluang terbaik itu dengan mara sejauh mungkin pada kejohanan itu untuk mengintai peluang mengisi slot perseorangan ketiga dan keempat skuad Piala Uber.

Menurut Kisona, bukan saja Masters Orleans yang dirasakan penting malah semua kejohanan yang akan disertai selepas ini kerana mahu memperbaiki ranking dunia.

“Saya hadir ke sini bukan hanya untuk memastikan peluang saya dalam skuad Piala Uber terjamin tapi berjuang untuk kedudukan ranking dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kisona yang akan berentap dengan pemain dari pusingan kelayakan pada pusingan pertama esok, mengakui dia tidak meletakkan sebarang sasaran khusus pada Masters Orleans kerana enggan memberi tekanan kepada diri sendiri.

“Jadi saya fokus satu demi satu perlawanan walaupun sukar dan berharap mampu meraih keputusan lebih baik berbanding di Masters Thailand, Januari lalu,” katanya yang sebelum ini berada dalam skuad Kejohanan Berpasukan Asia (kelayakan Piala Uber) di Alor Setar bulan lalu.

Sementara itu, Ying Ying mengakui kejohanan di Paris itu mungkin membuka peluang terbaik buatnya untuk disenaraikan dalam skuad Piala Uber.

“Saya mungkin berdepan rakan senegara (Kisona) pada pusingan kedua. Bagi saya keputusan tidak penting tapi saya mahu memberi aksi terbaik dan membuktikan kelebihan saya,” ujar naib juara remaja dunia 2015 itu.

Ying Ying yang diletakkan sebagai pilihan kelima dan menduduki ranking ke-44 dunia, akan berdepan pemain Mauritius, Kate Foo Kune pada pusingan pertama esok.

Yin Fun pula akan menentang pilihan ketujuh dari Turki, Neslihan Yigit pada pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 5:07 PM