VAN HUIZEN (tengah) mengendalikan latihan skuad negara sebagai persiapan menjelang Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. -Foto OWEE AH CHUN
VAN HUIZEN (tengah) mengendalikan latihan skuad negara sebagai persiapan menjelang Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. -Foto OWEE AH CHUN
Naqib Nor Said

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara perlu memanfaatkan peluang layak secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan memenangi pingat emas di Sukan Asia Jakarta-Palembang yang bermula Sabtu ini.

Bekas pemain negara, Maninderjit Singh berkata, biarpun peluang tetap ada jika sekiranya gagal di Jakarta, namun ia disifatkan lebih mencabar dalam misi memburu tempat layak ke Olimpik selepas 20 tahun.

“Sekarang ini jalan terbaik untuk layak ke Olimpik selepas 20 tahun adalah melalui juara benua, jika tidak peluang kita lebih sukar kerana kita bakal berdepan lawan yang lebih kuat di Acara Kelayakan Olimpik,” katanya.

Andai skuad kendalian Stephen Van Huizen gagal meraih emas di Sukan Asia, mereka bakal berdepan ranjau berliku apabila perlu mengharungi kempen kelayakan Siri Dunia Final dengan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) sudah memutuskan Kuala Lumpur, Perancis dan satu lagi lokasi yang belum dimuktamadkan sebagai tuan rumah acara terbabit.

Sebagai tuan rumah, Malaysia bagaimanapun tampak tidak bermasalah untuk mendapat dua tempat terbaik pada kempen yang dijadualkan berlangsung April depan itu tatkala majoriti pasukan terdiri daripada kelompok ranking 10 hingga 20 terbaik dunia.

Tugas getir buat skuad negara dijangka hadir pada Acara Kelayakan Olimpik, September 2019 yang mana mempertemukan dua pasukan terbaik daripada setiap Siri Dunia Final disamping Liga Pro (empat pasukan terbaik) dan baki dua pasukan ditentukan menerusi ranking terbaik FIH.

Di situ, format pertandingannya sedikit berbeza apabila lawan bagi 12 pasukan yang layak diputuskan menerusi ranking teratas lawan ranking terendah, kedua terbaik dengan kedua terendah dan seterusnya, dengan setiap pasukan yang diundi untuk bertemu sesama sendiri itu perlu memenangi dua daripada tiga aksi untuk layak.

Bermakna, Malaysia yang kini menghuni ranking ke-12 dunia FIH akan diletakkan sebagai pasukan pilihan ketujuh ataupun kelapan terbaik selepas menolak lima pasukan juara benua yang sudah melayakkan diri ke Tokyo sekali gus dijangka bertemu sama ada antara New Zealand, Sepanyol atau Pakistan bergantung pada kedudukan ranking ketika itu.

Ia juga bermakna nasib Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal dan timbalan presiden kanannya, Datuk Dr S Shamala hanya akan diketahui pada September 2019 berbanding yang didendangkan mereka sebelum ini iaitu melepaskan jawatan pada April depan sekiranya Malaysia gagal layak ke Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 7:21 PM