Dhaarma pada sesi latihan pemain. FOTO MHC
Dhaarma pada sesi latihan pemain. FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran


KETUA jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berdepan dilema dalam memilih senarai 18 pemain terbaik ke Pusingan Akhir Siri FIH di Banbridge, Ireland, 8 Jun depan.

Ini kerana selepas tiga perlawanan pada saingan tiga penjuru di Rome, Itali, tiga daripada senarai 20 pemain yang di bawanya mengalami kecederaan. Ketiga-tiga pemain itu adalah Nur Amirah Shakirah Zulkifli yang sebelum ini cemerlang meledak dua gol; pemain tengah, Surizan Awang Noh dan seorang lagi penyerang negara, Nur Zafirah Aziz.

Kesemua mereka mengalami kecederaan selepas berakhir perlawanan ketiga semalam yang menyaksikan skuad negara mempamer semangat melawan sebelum tewas 2-4 di tangan pasukan ranking ketujuh dunia, Sepanyol.

"Saya hanya akan memilih 18 pemain apabila kami mengadakan perlawanan di Scotland selepas ini. Tetapi ketika ini faktor kecederaan membelenggu pasukan.

"Amirah mengalami kecederaan groin, Surizan pula menerima hentakan keras di kepala dan tidak dapat meneruskan perlawanan.

"Zafirah juga cedera selepas bertembung dengan penjaga gol lawan dan kemudian dikeluarkan kerana kecederaan lutut.

"Kesemua mereka ini diharap dapat pulih sepenuhnya dan memudahkan saya untuk memilih senarai 18 pemain terbaik lebih awal.

Jika tidak, saya terpaksa membuat keputusan sehingga saat akhir," katanya.

Dua pemain akan digugurkan daripada senarai 20 pemain itu, tetapi kedua-duanya tetap akan di bawa ke Banbridge sebagai rakan sepelatih. Pada perlawanan semalam, Nur Maizatulhanim Syafi Syeik Fuad menjaringka dua gol untuk skuad negara minit ke-54 dan 59 hasil jaringan padang.

Namun kedua-dua gol itu sudah terlewat untuk menafikan kemenangan Sepanyol yang sebelum itu mendahului 4-0.

Skuad negara akan turun pada perlawanan terakhir hari ini bertemu Itali sebelum kemudian terbang ke Scotland.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 2:55 PM