SITI Zulaikha.
SITI Zulaikha.
Saiful Affendy Sapran


PENYERANG muda skuad hoki wanita negara, Siti Zulaikha Husain berharap terus mendapat tempat selepas mempamer aksi menakjubkan pada penampilan sulung bersama Malaysian Tigress di Pusingan Akhir Siri Hoki FIH di Banbridge, Ireland Utara.

Pemain kecil molek berusia 18 tahun itu membuka mata banyak pihak termasuk ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah apabila berjaya meledak tiga gol walaupun tidak mempunyai pengalaman beraksi di pentas antarabangsa.

“Saya akan cuba untuk terus kekal dalam skuad negara. Penampilan pertama di saingan antarabangsa ini memberi lebih keyakinan untuk saya mempamer aksi lebih baik selepas ini.

“Saya mahu terus buktikan kepada jurulatih yang saya juga mampu menggalas tugas dengan baik,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dari Banbridge hari ini.

Mengulas pengalaman pertamanya pada kejohanan itu, dia mengakui berasa gugup terutamanya pada perlawanan pembukaan bertemu Ireland.

“Saya tahu peluang untuk menjaringkan gol pasti sukar tapi akhirnya saya dapat menyumbang tiga gol juga.

“Ramai pemain senior memberi kata-kata semangat kepada saya,” katanya.

Skuad negara menamatkan saingan di Banbridge di tangga ketiga selepas menewaskan Republik Czech 3-0 pada penentuan tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 10:26 PM