WELLBECK (kanan) antara pemain yang meninggalkan Arsenal hujung musim ini. — FOTO Reuters
WELLBECK (kanan) antara pemain yang meninggalkan Arsenal hujung musim ini. — FOTO Reuters
AFP

ARSENAL mempunyai cukup “modal” untuk mengikat pemain ternama sekalipun jika mereka tidak layak ke Liga Juara-Juara, menurut ketua bola sepak kelab itu Raul Sanllehi.

Anak buah Unai Emery boleh menempah tiket ke pertandingan utama kelab Eropah itu musim depan jika mereka mengalahkan Chelsea pada final Liga Europa di Baku, 29 Mei ini.

Sesudah terlepas penamat empat teratas Liga Perdana Inggeris, perlawanan di Azerbaijan menjadi peluang terakhir Arsenal untuk menamatkan penantian dua musim tidak beraksi pada pertandingan elit kelab Eropah itu.

Bertanding dalam Liga Juara-Juara tidak diragui satu insentif buat pemain untuk berpindah ke Stadium Emirates, namun Sanllehi yakin perancangan kelab itu baik bagi jendela perpindahan pemain sekalipun jika mereka tewas di tangan musuh setempat London itu.

Dalam satu temu ramah bersama Arsenal Media di samping pengarah urusan Vinai Venkatesham, Sanllehi mendedahkan bagaimana Gunners akan terus dibentuk susulan pemergian Danny Welbeck, Aaron Ramsey dan Petr Cech pada hujung musim.

“Apa yang saya boleh beritahu anda kami sudah mengenal pasti dengan jelas bersama ketua jurulatih kami dan staf teknikal, kami sedar apa yang kami perlu utamakan dan kami amat jelas dengan keutamaan kami,” kata Sanllehi.

“Kami sudah berada dalam pasaran perpindahan dan kami sudah berbincang dengan orang yang mampu membantu kami mengisi kekosongan itu dan saya berasa amat yakin.

“Ia berjalan lancar dan imej Arsenal dalam dunia bola sepak amat kuat.”

Arsenal berakhir di tangga kelima Liga Perdana, satu mata di belakang pasukan tangga keempat Tottenham pada musim sulung Emery.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 8:33 AM