KOSCIELNY (kiri) beraksi ketika menentang Manchester United musim lalu. — FOTO Agensi
KOSCIELNY (kiri) beraksi ketika menentang Manchester United musim lalu. — FOTO Agensi
Reuters

PENGURUS Arsenal, Unai Emery akan menunggu keputusan mengenai Laurent Koscielny selepas kapten itu enggan bersama skuad mengharungi jelajah pramusim di Amerika Syarikat.

Emery bagaimanapun berkata, kelab Liga Perdana Inggeris itu tetap perlu terus berjuang sekalipun Koscielny ditakdirkan tidak lagi bersama pasukan musim depan.

Pertahanan tengah Perancis berusia 33 tahun itu masih mempunyai baki kontrak setahun bersama Gunners dan media Britain mengaitkannya dengan perpindahan ke kelab Ligue 1, Bordeaux atau Olympique Lyon.

“Saya sudah berbincang mengenai perkara itu dengan Koscielny tiga kali. Kami mahu dia bersama dalam jelajah ini tapi dia memilih untuk tinggal di Arsenal,” kata Emery selepas Arsenal mengalahkan Colorado Rapids 3-0.

EMERY perlu tangani masalah Koscielny. — FOTO AFP
EMERY perlu tangani masalah Koscielny. — FOTO AFP

“Bagi saya amat jelas. Kami perlu terus bermain dan berjuang seperti biasa. Kami bermain dengan semangat untuk mencari lebih banyak peluang.”

Emery berkata, Koscielny yang menyertai Arsenal dari kelab Perancis, Lorient pada 2010, sudah membuat lebih 350 penampilan bersama Gunners dan masih lagi pemain penting buat pasukan.

“Kini soal mengenai dia dan kelab,” kata pengurus itu. “Kedua-dua pihak perlu berbincang mengenai situasi pemain itu... Saya menunggu hasil perbincangan berkenaan. Itu saja yang boleh saya katakan.”

Arsenal akan menentang Bayern Munich esok sebelum mengharungi perlawanan dengan Fiorentina dan Real Madrid pada Piala Juara Antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 12:23 AM