KETUA jurulatih Pahang, Dollah Salleh.
KETUA jurulatih Pahang, Dollah Salleh.
Rizar Mohd Noor


RIAK wajah pengendali Pahang, Dollah Salleh jelas begitu kecewa selepas pasukan bimbingannya terpaksa pulang dengan tangan kosong apabila tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Dollah mengakui misi ke Larkin bukan untuk mencari keputusan seri, sebaliknya pemburuan tiga mata menjadi agenda utama skuad Tok Gajah namun skrip berbeza digarap dalam perlawanan itu apabila pulang hampa tanpa sebarang mata.

"Kita bukan cari keputusan seri. Apa yang terjadi pemain tidak berdisplin dalam perlawanan itu terutama barisan pertahanan yang terlalu banyak memberi ruang kepada pemain JDT berpusing dan membiarkan mereka melakukan sepakan lintang.

"Saya sudah pesan kepada pemain jika kita bagi ruang kepada pemain JDT untuk bergerak bebas mereka akan bunuh kita tetapi nampaknya pemain saya tidak ikut arahan, pada babak kedua kami cuba beri tekanan kepada JDT namun tidak mencukupi malah barisan serangan begitu tumpul.

"Ketiadaan Dickson Nwakaeme amat dirasai apabila barisan serangan gagal berfungsi dengan baik kerana dia boleh mengawal bola dan menyusun strategi malah kerap menyuntik semangat pemain muda supaya bangkit namun apakan daya dia tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan.”

PEMAIN JDT, Safawi Rasid (kiri) diasak pemain Pahang, Mohd Faisal Rosli ketika perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim.
PEMAIN JDT, Safawi Rasid (kiri) diasak pemain Pahang, Mohd Faisal Rosli ketika perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim.

Mengulas persembahan pemain import Safuwan Baharudin yang pada babak pertama begitu konsisten dan kerap mematikan pergerakkan tengah pemain JDT namun pada babak kedua corak permainan pemain itu kurang efisyen, Dollah menyifatkan punca utama adalah tindakan awal pengadil perlawanan melayangkan kad kuning menyebabkan pemain itu tertekan.

Katanya, agak hairan selepas pengadil terlalu awal mengeluarkan kad kuning namun terpaksa menerima hakikat layangan kad itu dan rentak permainan Safuwan tampak terjejas apabila berada dalam tekanan bagi mengelak melakukan kesilapan yang mungkin boleh dikenakan kad kuning kedua.

"Itu menyebabkan posisi tengah yang dikawal Safuwan longgar kerana tidak mahu melakukan kesilapan dan kesempatan itu diambil pemain JDT untuk mengawal posisi tengah dan saya juga simpati dengan Nor Azam Azih yang sudah beri terbaik di posisi tetapi barisan serangan tidak mampu mengawal bola.

"Sama ada akan berlaku pertukaran pemain pada jendela kedua perpindahan, saya sudah berbincang dengan Presiden Persatuan Bolasepak Pahang (PFA), Tengku Muda Pahang (Tengku Abdul Rahman Ahmad Shah) tetapi belum buat sebarang keputusan," kata Dollah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 1:18 PM