PEMAIN Pahang meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan selepas menewaskan JDT 3-0 pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PEMAIN Pahang meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan selepas menewaskan JDT 3-0 pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Rizar Mohd Noor


HATRIK Patrick Cruz memastikan Pahang melangkah bergaya ke separuh akhir Piala FA selepas menundukkan Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Kemenangan Tok Gajah itu juga melebur rekod tanpa kalah Harimau Selatan di laman sendiri sejak 2014 dan bakal berdepan PKNP FC di kelompok empat terakhir nanti.

Pada aksi pertama di Kuantan sebelum ini, kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan dan kejayaan di Larkin menyaksikan skuad kendalian Dollah Salleh melangkah ke separuh akhir menerusi agregat 3-0.

Untuk perlawanan ulangan di Larkin, pengendali JDT, Raul Longhi mempertaruhkan kesebelasan sama ketika menewaskan PKNS FC 3-0 dalam saingan Liga Super, Sabtu lalu manakala Dollah mengambil risiko dengan menurunkan kapten, Matthew Davies dan Safuwan Baharuddin walaupun pada awalnya dilaporkan cedera.

Seawal minit keenam, tuan rumah hampir merobek gawang pelawat selepas bola tolakan Ahmad Hazwan Bakri membuka ruang buat Gonzola Cabrerra menyusup masuk ke dalam kotak penalti namun bola rembatannya sedikit tersasar.

Serangan pantas pelawat pada minit kesembilan menghasilkan gol pertama Pahang dan Cruz yang melepasi perangkap ofsaid, bijak memperdayakan penjaga gol tuan rumah, Farizal Marlias.

Tekanan mula dirasai tuan rumah selepas ketinggalan 0-1 dan mengatur serangan memburu gol penyamaan menerusi gandingan Cabrera, Ahmad Hazwan dan Safawi Rasid namun tetap buntu menembusi benteng yang dikawal Muslim Ahmad dan Muhd Afif Amiruddin.

Bermula babak kedua, anak didik Longhi terus menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan namun peluang terbaik Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham pada minit ke 51 yang menerima bola tandukan ke belakang Natxo Insa sekadar merembat bola tinggi biarpun berada dalam kotak penalti.

Pelawat menambah derita tuan rumah pada minit ke-58 selepas bola hantaran lintang M Kogileswaran singgah di kaki Cruz yang mudah menolak bola bagi mencetak gol kedua peribadi untuk meletakkan pelawat 2-0 di depan.

Tuan rumah yang berada dalam situasi genting masih berusaha mencari sekurang-kurangnya satu gol semangat bagi mengejar pelawat tetapi segala usaha yang dilakukan nyata mengecewakan sama ada bola di halang Helmi Eliza atau melambung tinggi.

Cruz melengkapkan hatrik pada minit ke-76 apabila menerima hantaran Vathanaka Chan dan penyerang Brazil itu memperdaya pertahanan JDT, Harris Harun sebelum membuat rembatan yang gagal diselamatkan Farizal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 11:20 PM