GOL Diakhaby (dua kanan) menjadi modal buat Valencia minggu depan. — FOTO AFP
GOL Diakhaby (dua kanan) menjadi modal buat Valencia minggu depan. — FOTO AFP
Reuters

ARSENAL mungkin mengalahkan Valencia 3-1 pada separuh akhir pertama Liga Europa awal pagi tadi namun kedua-dua pengurus percaya perlawanan itu masih seimbang.

Dua gol Alexandre Lacazette dan jaringan lewat Pierre-Emerick Aubameyang memberikan tuan rumah kelebihan selepas Mouctar Diakhaby membantu kelab Sepanyol itu mendahului pada awal permainan.

Namun jurulatih Arsenal, Unai Emery jelas masih berhati-hati mengenai peluang pasukannya layak ke final di Baku bulan ini menjelang aksi kedua di Stadium Mestalla, Valencia, minggu depan.

“Keputusan yang bagus, tapi aksi kedua pasti amat sukar dan mungkin berbeza. Saya menganggapnya masih 50-50,” kata pengendali dari Sepanyol itu. “Mereka pasti berasa kuat dengan kehadiran penyokong sendiri di sana.”

EMERY memikirkan cara untuk menangani suasana sukar di Mestalla. — FOTO Reuters
EMERY memikirkan cara untuk menangani suasana sukar di Mestalla. — FOTO Reuters

Pengurus Valencia, Marcelino jelas bersetuju.

“Saya tidak fikir mena-mana penyokong Valencia berasakan mereka lebih kuat berbanding kami. Kami teruja dan optimis. Jika kami mendapat sokongan padu penyokong dan semuanya berjalan lancar, kami boleh menang minggu depan,” katanya.

Arsenal dibelenggu beberapa persembahan buruk di luar Emirates musim ini dan mereka sudah melepaskan 10 gol dalam empat perlawanan terakhir bagi semua pertandingan.

Begitupun, Emery berkata, beliau tidak sabar kembali ke Mestalla, selepas mengemudi Valencia menduduki tangga ketiga La Liga di belakang Barcelona dan Real Madrid bagi tiga musim berturut-turut dari 2010 hingga 2012.

“Saya mahu menikmati permainan di sana, dengan pemain dan penyokong kami. Ia pasti satu suasana sukar,” katanya.

“Kami akan bersiap sedia bagi perlawanan ini memikirkan untuk menang, berfikir untuk menjaringkan gol, memikirkan untuk mencipta detik kami ketika menyerang, tapi ia bergantung,” katanya sambil mengangkat bahu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 9:13 AM