Penyokong Valencia meludah ketika Aubameyang meraikan gol. FOTO REUTERS
Penyokong Valencia meludah ketika Aubameyang meraikan gol. FOTO REUTERS
Agensi

WIRA hatrik Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang ‘diludah’ oleh penyokong Valencia ketika kelab Sepanyol itu tewas di Stadium Mestalla, awal pagi tadi.

Rakaman kamera televisyen menunjukkan penyokong terbabit meludah ke arah penyerang Arsenal itu ketika dia meraikan jaringan berhampiran papan iklan di tepi padang.

Ia berlaku sebelum rakan sepasukan Aubameyang mengucapkan tahniah kepadanya selepas menjaringkan gol ketiga Gunners pada saingan separuh akhir kedua Liga Europa (UEL).

Tindakan penyokong Valencia itu meludah Aubameyang mendapat kecaman teruk di media sosial.

Perlawanan berkesudahan 4-2 dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menang agregat 7-3 dan mara ke final.

Seorang peminat menulis tweet: "Bolasepak begitu cantik dan terdapat orang bodoh seperti penyokong Valencia ini yang cuba meludah kepada Aubameyang. Saya rasa tindakannya mencerminkan sebahagian buruk sikap penyokong".

Satu lagi kiriman melabelkan insiden serangan itu sebagai "teruk" dan “menjijikkan".

Malah, ramai penonton melihat rakaman itu terkejut dengan apa dilihat mereka dan bertanya adakah mereka nampak apa dilakukan oleh penyokong Valencia itu.

Bintang Gunners berasal dari Gabon itu meledak jaringan hatrik pada perlawanan itu membolehkan skuadnya bertemu Chelsea pada final UEL di Baku, Azerbaijan.

Bos Arsenal Unai Emery berkata: "Saya bangga dengan pemain dan penyokong.

"Kami tahu perlu bertenang selepas mereka menjaringkan gol dan kami perlu mengawal emosi”.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 5:06 PM