KIAN Meng dan Pei Jing enggan pandang rendah lawan. -Foto fail
KIAN Meng dan Pei Jing enggan pandang rendah lawan. -Foto fail
Ferzalfie Fauzi


SELEPAS mudah menjinakkan pilihan keenam di pusingan pertama Terbuka New Zealand hari ini, pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tidak mahu memandang mudah lawan mereka untuk peringkat seterusnya.

Mereka yang mengalahkan Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 21-18, 21-14 di Stadium Eventfinda hari ini, tidak mahu memandang mudah apabila berdepan satu lagi pasangan Indonesia, Akbar Bintang Cahyono-Annisa Saufika lusa.

"Saya rasa kita tidak menganggap aksi pusingan kedua lebih mudah, selepas melepasi pusingan pertama dengan menumpaskan pilihan keenam," kata Pei Jing ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Jelas pemain kelahiran Pahang itu, walaupun mereka akan berdepan pasangan baru dari negara jiran, dia tetap menjangkakan tentangan sengit bakal diberikan Akbar-Annisa.

"Kita tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka dan paling penting ialah kita terus fokus seperti biasa," kata Pei Jing.

Gandingan Kian Meng-Pei Jing berjaya bangkit semula selepas tumpas di pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Wuhan minggu lalu.

Turut mara ke pusingan kedua ialah pilihan ketiga, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang berjaya mengalahkan pasangan Singapura, Danny Bawa Chrisnanta-Tan Wei Han 21-11, 21-17.

Soon Huat-Shevon bakal berdepan Lee Jhe Huei-Hsu Ya Ching dari Taiwan di pusingan kedua lusa.

Sementara itu, juara kebangsaan, Soong Joo Ven berjaya mara ke undian utama selepas memenangi dua perlawanan pusingan kelayakan.

Joo Ven berjaya menumbangkan Henrikho Kho Wibowo dari Indonesia 21-14, 21-15 sebelum mengetepikan wakil Australia, Anthony Joe 21-19, 21-13.

Pemain perseorangan lelaki profesional Chong Wei Feng turut mara selepas mengalahkan Gao Zhengze (China) 21-17, 17-21, 21-10 dan Zvonimir Durkinjak (Croatia) 21-14, 21-11.

Joo Ven akan berdepan pemain veteran Korea Selatan, Lee Hyun Il, manakala Wei Feng menentang Ihsan Maulana Mustofa di pusingan pertama hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 6:59 PM