LEE Zii Jia. -FOTO AFP
LEE Zii Jia. -FOTO AFP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Status sebagai juara bertahan Seluruh England bukannya tiket untuk pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia memandang remeh setiap lawan yang bakal diharungi pada perlawanan itu.

Zii Jia yang berjaya melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Jepun Kenta Nishimito 21-16, 21-17 dalam aksi pertama kejohanan yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham mahu terus fokus dan mengurangkan kesilapan mudah bagi memastikan mampu menempah tiket akhir Seluruh England.

"Jujur saya katakan begitu teruja apabila dapat beraksi semula dalam saingan Seluruh England. Saya tidak mahu terlalu mahu memikirkan mengenai status saya sebagai juara bertahan sebaliknya saya hanya mahu menikmati perlawanan dan buat yang terbaik.

"Saya menikmati perlawanan saya hari ini (menentang Nishimoto) dan cuba untuk mengelak daripada melakukan kesilapan mudah," katanya.

Mengikut rekod, Zii Jia yang akan membuat perhitungan dengan pemain Kanada, Brian Yang bagi perebutan tiket ke suku akhir.

Sementara itu, beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berhadapan masalah untuk melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan pasangan Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley 21-14, 21-19.

Pasangan negara yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan dijadualkan akan bertemu pasangan China, He Ji Ting-Tan Qiang untuk aksi pusingan kedua.

Selain itu, turut melangkah ke pusingan seterusnya adalah beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheah Yee See menewaskan Venkat Gaurav-Juhi Dewangan dari India 21-9, 21-13 manakala Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menundukkan Adnan Maulana-Mychelle Crhystine dari Indonesia 21-14, 13-21, 21-16.

Pang Ron-Yee See akan bertemu pasangan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva manakala Kian Meng-Pei Jing berdepan Supak Jomkoh-Supissara Paesampran dari Thailand.

Namun nasib malang buat dua lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei apabila tersingkir di pusingan pertama selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 1:59 PM