EMERY (kiri) mahu pastikan Arteta (kanan) pulang hampa. FOTO Agensi
EMERY (kiri) mahu pastikan Arteta (kanan) pulang hampa. FOTO Agensi
AFP

London: Arsenal kini bergantung kepada kejayaan di Liga Europa bagi menebus duka Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi bakal berdepan bekas pengurus, Unai Emery dalam aksi separuh akhir pertama menentang Villarreal Jumaat ini.

Berada di tangga ke-10 liga, Gunners tampak bakal menamatkan kempen dengan kedudukan terburuk sejak 1995.

Tetapi skuad Mikel Arteta juga hanya tiga perlawanan lagi untuk menjulang trofi Eropah ketiga kelab sekaligus tiket ke Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh lima musim.

Semua serba tak kena buat mereka sama ada di dalam mahupun di luar padang. Sebelum tewas 0-1 kepada Everton pada Jumaat lalu, ribuan penyokong berdemonstrasi dengan menggesa pemilik kelab, Stan Kroenke menjual Arsenal susulan peranannya dalam menubuhkan Liga Super Eropah (ESL).

Jurulatih Villarreal, Emery pula masih lagi 'terasa' dengan pemecatannya walaupun berjaya membawa Arsenal ke final Liga Europa sepanjang dia mengendalikan pasukan selama 18 bulan bermula Mei 2018 hingga November 2019.

"Ia berakhir dalam suasana tidak diingini,'' kata Emery. "Saya mahu menang untuk diri saya dan Villarreal. (Dua tahun lalu) saya pertahankan jersi merah Arsenal pada final menentang Chelsea dan kini bersama jersi kuning Villarreal."

"Kedua-dua kelab mempunyai sejarah sendiri. Ia akan menjadi perlawanan yang hebat.''

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memburu tempat ke final dengan menentang Roma di Old Trafford selepas empat kali gagal melakukannya sejak mengendalikan Red Devils.

Gergasi Inggeris itu dua kali tewas pada saingan empat terakhir Piala Liga dan separuh akhir Liga Europa musim lalu dan Piala FA.

Skuad Solskjaer akui sukar menggugat Manchester City di puncak EPL dan saingan Eropah peluang terbaik mereka menamatkan kemarau trofi selama empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 9:41 AM