REKOD Solskjaer kurang baik sejak dilantik sebagai pengurus tetap United. — FOTO AFP
REKOD Solskjaer kurang baik sejak dilantik sebagai pengurus tetap United. — FOTO AFP
Reuters

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menyatakan pasukannya “bernasib baik” ketika United memanaskan badan bagi aksi Liga Juara-Juara menentang Barcelona dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas West Ham, awal pagi tadi.

Sejak Solskjaer dilantik sebagai pengurus tetap United bulan lalu, Red Devils bergelut untuk menemui sentuhan yang membantu mereka tidak kalah dalam 11 perlawanan berturut-turut apabila pengendali dari Norway itu mengambil alih secara sementara Disember lalu.

Selepas memegang jawatan itu secara tetap, pasukan Solskjaer menang ke atas Watford namun kalah dua perlawanan berturut-turut kepada Wolverhampton Wanderers dan kemudian Barcelona pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Old Trafford.

Barcelona mempunyai kelebihan 1-0 menjelang aksi timbal balik minggu depan dan berasa selesa menyedari mereka tidak berdepan sebarang percubaan tepat ke arah gol.

POGBA (dua kanan) meraikan jaringan penalti kedua bersama rakan sepasukannya. — FOTO AFP
POGBA (dua kanan) meraikan jaringan penalti kedua bersama rakan sepasukannya. — FOTO AFP

Menentang West Ham awal pagi tadi, United memerlukan penalti untuk mendahului pada babak pertama di Old Trafford dan selepas pelawat menyamakan kedudukan menerusi Felipe Anderson, United berterima kasih kepada palang gol dan kecemerlangan penjaga gol David de Gea.

Paul Pogba kemudian tampil menjaringkan gol menerusi penalti kedua United dan Solskjaer mengakui pasukannya bernasib baik kerana meraih tiga mata.

“Kami berjaya melepasinya. Kadang-kadang anda mendapat lebih daripada sepatutnya dan malam ini satu daripadanya,” kata Solskjaer. “Begitu juga Watford.

“Kami bernasib baik ia bukannya Barcelona tapi West Ham bermain dengan bagus.”

Ia kemenangan kedua United dalam enam perlawanan bagi semua pertandingan sejak kebangkitan menakjubkan mengatasi Paris St Germain pada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 8:30 AM