GAYA Greenwood selepas menjaringkan gol United di Old Tarfford. FOTO AFP
GAYA Greenwood selepas menjaringkan gol United di Old Tarfford. FOTO AFP
AFP

OLE Gunnar Solskjaer menggesa bintang Manchester United memanfaatkan peluang terbaik untuk layak ke Liga Juara-Juara selepas jaringan Mason Greenwood membolehkan mereka seri 1-1 menentang West Ham, awal pagi tadi.

Skuad Solskjaer ketinggalan menerusi penalti Michail Antonio pada babak pertama di Old Trafford tetapi penyerang remaja, Greenwood meledak selepas rehat untuk melonjakkan United ke tangga ketiga dalam carta Liga Perdana.

Mereka memintas Chelsea di tangga keempat berdasarkan kelebihan jaringan selepas Blues tewas 3-5 kepada juara, Liverpool.

United bakal menamatkan kempen di kelompok empat teratas jika seri atau menang ke atas pasukan di tangga kelima, Leicester pada Ahad ini.

Mereka satu mata di depan Leicester menjelang aksi terakhir musim ini di Stadium King Power.

"Ketika kami memulakannya selepas tamat perintah berkurung, kami perlu menyelesaikannya sama ada menerusi kelebihan jaringan atau meraih mata," kata Solskjaer.

  AKSI  Pogba (tengah) yang menampan bola dalam kotak penalti. FOTO AFP
AKSI Pogba (tengah) yang menampan bola dalam kotak penalti. FOTO AFP

"Usaha dan keputusan diperolehi sangat fantastik. Menuju rehat kami tahu ia keputusan tidak kami mahu tetapi anda tak boleh jangka keputusan sama pada Ahad ini. Kami mendapat peluang fantastik dan meraih mata sebelum tugas getir menentang Leicester."

Skuad Solskjaer beraksi di bawah tahap sebenar ketika menentang West Ham tetapi mereka kini tidak tewas 13 perlawanan liga dan menjadi penyuntik semangat ke Liga Juara-Juara jika berjaya mengekalkan rekod di Leicester.

Mereka juga boleh layak ke kejuaraaan kelab elit Eropah jika muncul juara Liga Europa bulan depan.

Solskjaer sudah pasti lega selepas De Gea tidak melakukan kesilapan seperti dilakukannya ketika United tewas 1-3 kepada Chelsea dalam aksi separuh akhir Piala FA, Ahad lalu.

Satu mata diraih West Ham membolehkan mereka secara matematik berjaya mengelak penyingkiran.

Skuad Solskjaer bermula garang dengan penjaga gol West Ham, Lukasz Fabianski dua kali diuji dalam tempoh empat minit pertama.

Rembatan Anthony Martial dalam kotak penalti diselamatkan Fabianski dan Rashford mencuba nasib dari jarak 25 meter manakala rembatan Greenwood dihadang Ogbonna.

De Gea lebih banyak menjadi penonton dalam tempoh 40 minit pertama sebelum tandukan Antonio terus ke dakapannya.

Tetapi De Gea terpaksa juga mengutip bola dalam gawang sendiri sejurus sebelum rehat apabila Paul Pogba menghadiahkan West Ham penalti.

Sepakan percuma kencang Declan Rice terus menuju ke muka Pogba yang terpaksa menampannya dengan tangan dan VAR mengesahkan kesalahan itu.

Antonio memanfaatkan peluang untuk jaringan keenamnya dalam tiga perlawanan terakhir.

Bagaimanapun, Greenwood menunjukkan kematangan pada minit ke-51 selepas dia yang mendapat hantaran daripada Martial tenang menewaskan Fabianski dari jarak 10 meter sekaligus menyelamatkan maruah United.

Tiada pemain remaja United yang menjaringkan lebih banyak gol dalam satu musim kecuali Greenwood yang jaringan ke-17 musim ini meletakkannya sebaris George Best, Brian Kidd dan Wayne Rooney.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 8:56 AM