KHIDMAT Pogba amat diperlukan di Old Trafford. — FOTO Agensi
KHIDMAT Pogba amat diperlukan di Old Trafford. — FOTO Agensi
AFP

OLE Gunnar Solskjaer mendedahkan beliau diberi jaminan bintang tengah Paul Pogba tidak mahu meninggalkan Manchester United di sebalik spekulasi memuncak mengenai perpindahannya ke Real Madrid.

Pemain tengah United, Pogba minggu lalu menggambarkan Madrid, yang diurus legenda Perancis, Zinedine Zidane, sebagai satu “kelab impian setiap pemain” ketika tugasan antarabangsa.

Ia kemudiannya menjadi lebih hangat menjelang aksi Madrid hujung minggu lalu apabila bos Real itu mengakui Pogba diterima di Bernabeu jika dan bila dia memutuskan untuk mengakhiri karier di United.

Zidane dijangka mempunyai peruntukan pembelian pemain yang besar pada musim panas ini untuk membentuk semula pasukannya.

SOLSKJAER (kiri) berjabat tangan dengan Pogba selepas aksi liga Sabtu lalu. — FOTO AFP
SOLSKJAER (kiri) berjabat tangan dengan Pogba selepas aksi liga Sabtu lalu. — FOTO AFP

Real tersingkir di tangan Ajax pada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara dan ketinggalan 12 mata di belakang Barcelona dalam La Liga.

Solskjaer hanya dilantik sebagai pengurus tetap di Old Trafford minggu lalu namun masa depan pemain paling berprofil United itu sekali lagi menjadi tumpuan.

Madrid pernah membeli beberapa bintang United dengan David Beckham dan Cristiano Ronaldo meninggalkan Old Trafford untuk ke Bernabeu namun Solskjaer berkata, beliau tidak bimbang mengenai situasi Pogba.

“Ia tidak begitu membimbangkan saya kerana saya lebih suka duduk berbincang dan bercakap dengan Paul,” katanya.

“Saya sudah bercakap dengan Paul dan semuanya bagus. Dia akan kekal di sini kerana dia tahu saya amat menghargainya sebagai pemain dan secara peribadi. Dia penting buat kami di sini, jadi tiada sebarang isu. Dia gembira di sini.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 8:13 AM