PFA tak mahu Amizal ambil sikap lepas tangan.
PFA tak mahu Amizal ambil sikap lepas tangan.
Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: 9 April 2019. Itu tarikh akhir yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) ke atas bekas presiden, Datuk Amizal Shaifit Ahmad Rafie untuk membayar RM3 juta atas segala ‘kerosakan’ yang dilakukannya sebelum ini.

Andai gagal, PFA tidak melihat ada jalan lain kecuali mengemukakan saman di mahkamah ke atas Amizal kerana badan induk itu berpendapat, apa yang dilakukan bekas presiden itu membawa kepada masalah besar yang menyaksikan Perlis disingkir daripada saingan Liga Perdana musim ini.

Timbalan Presiden PFA, Mohamad Abdul Karim Khan Mansur Ahmad Khan berkata, Amizal tidak wajar lepas tangan dan seharusnya bertanggungjawab menyelesaikan masalah yang dihadapi persatuan terbabit.

“Jumlah yang perlu beliau bayar adalah RM3 juta. Ini bukan jumlah yang kita main letak saja, tetapi berdasarkan segala kerosakan dan imej buruk kepada PFA sehinggakan Perlis disingkirkan daripada mengambil bahagian di Liga Perdana.

“Bukan itu saja malah sikap tidak bertanggungjawab Amizal itu menyebabkan pembangunan bola sepak Perlis juga terencat apabila pasukan B19 (Belia) dan B21 (Presiden) juga tidak dibenarkan beraksi. Ia kerosakan menyeluruh yang disebabkan Amizal dan beliau tidak boleh lari.

“Beliau yakinkan pemain mahupun jurulatih dengan kata-kata manis, janji palsu, membawa mereka masuk dengan tawaran gaji tinggi akhirnya tak bayar, berhutang sana sini. Yang terpalit adalah PFA. Kami menanggung akibat daripada perbuatan beliau,” katanya.

Mohamad Abdul Karim Khan berkata, tuntutan RM3 juta itu merangkumi ganti rugi pelanggaran perjanjian penajaan kepada PFA yang dipersetujui ketika beliau dilantik sebagai presiden.

“Persatuan memberi tempoh dua minggu (sehingga 9 April) untuk tampil menjelaskan tuntutan ini, sekiranya gagal, memang kami tiada pilihan selain memfailkan saman ke atasnya,” katanya.

Sebelum ini, PFA menerusi satu mesyuarat sebulat suara menggantung Amizal daripada jawatannya sebagai presiden dan beberapa jam selepas itu beliau mengumumkan melepaskan jawatannya dengan mengakui gagal melaksanakan tanggungjawab seperti diamanahkan.

Amizal dilantik menyandang jawatan presiden PFA pada Oktober 2018 dan sejak itu menggariskan pelbagai program pembangunan untuk merubah wajah bola sepak Perlis di semua peringkat.

Beberapa jurulatih muda yang sedang mencipta nama, dipanggil untuk melatih pasukan antaranya Wan Rohaimi Wan Ismail, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Rafdi Rashid, Kamal Daut dan Manzoor Azwira Abdul Wahid manakala antara pemain yang dibawa masuk adalah Safee Sali, Azmi Muslim, Badhri Radzi dan Azmizi Azmi.

Mereka meninggalkan pasukan selepas tidak menerima gaji selama dua bulan.

Sementara itu, Amizal ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara terbabit dan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 7:00 AM