AHMAD Amizal Shaifit melepaskan jawatan atas desakan penyokong Singa Utara. Gambar kecil: Mohd Abdul Karim Khan. FOTO Supian Ahmad dan Ihsan PFA
AHMAD Amizal Shaifit melepaskan jawatan atas desakan penyokong Singa Utara. Gambar kecil: Mohd Abdul Karim Khan. FOTO Supian Ahmad dan Ihsan PFA
BERNAMA

PERSATUAN Bola Sepak Perlis (PFA) tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan bekas Presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie malah beliau perlu bertanggungjawab terhadap masalah yang melanda persatuan berkenaan, termasuk berhubung isu tunggakan gaji.

Timbalan Presiden PFA, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan yang kini menjalankan tugas presiden, berkata Ahmad Amizal Shaifit perlu mengambil tanggungjawab melunaskan tunggakan gaji pemain Perlis seperti dijanjikannya sebelum ini.

“Beliau tinggalkan PFA tanpa pengetahuan semua Exco dan hanya memaklumkan perletakan jawatannya melalui surat yang diterima Penolong Setiausaha Agung PFA, Naimuddin Haron,” katanya hari ini.

Mohd Abdul Karim Khan berkata PFA akan memastikan Ahmad Amizal Shaifit bertanggungjawab terhadap pelbagai kemelut yang melanda persatuan berkenaan.

Ahmad Amizal Shaifit melepaskan kedudukannya sebagai Presiden PFA selepas penyokong dan peminat skuad Singa Utara mendesak beliau meletak jawatan.

Keputusan beliau meletak jawatan itu juga dibuat selepas PFA menggantung jawatannya berkuat kuasa hari ini, yang diputuskan melalui mesyuarat Anggota Jawatankuasa Eksekutif (Exco) persatuan itu semalam.

PFA turut menggantung jawatan Muhammad Sukur Hashim sebagai Naib Presiden 2 dan ‘merehatkan’ Setiausaha Agung PFA Adib Rabani Muaz Abul Malik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 12:11 AM